Skip to main content

Ahli Hadis Terkemuka


AL’ALLAMAH al Muhaddith al Syarif Sayyid Abdul Aziz al Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani [العلامة المحدث الشريف السيد عبد العزيز الصديق الغماري] dilahirkan di Tanjah, Maghribi pada 1338 Hijrah bersamaan 1918 Masihi daripada keluarga al Siddiq yang masyhur dengan keilmuan dan ketakwaan.

Nasab yang penuh ialah Abdul Aziz bin Muhammad bin al Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mu’min bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa’id bin Mas’ud bin al Fudhail bin Ali bin Umar bin al ‘Arabi bin ‘Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Idris bin Idris bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin al Hasan al Sibt bin Ali dan Fatimah al Zahra’ binti Rasulullah SAW.

Bapanya Sayyid Muhammad al Siddiq merupakan salah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur.


Manakala bondanya pula ialah Syarifah Fatimah al Zahra merupakan cucu kepada Sayyid Ahmad 'Ajibah al Hasani pengarang syarah kitab hikam yang masyhur iaitu Iqaz al Himam fi Syarh al Hikam dan kitab al Bahr al Madid fi Ulum al Quran al Majid.

Keberkatan bapanya juga terzahir apabila tujuh anak lelakinya menjadi ulama Islam yang alim lagi disegani iaitu Sayyid Ahmad, Sayyid Abdullah, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid al Hasan.

Menurut sejarah Islam, belum ada lagi dalam sebuah keluarga yang menghimpunkan ulama besar Islam seramai ini, yang membidangi kemahiran yang pelbagai.

Semenjak kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan mendapat perhatian dan didikan yang sempurna daripada bapanya. Selepas itu beliau menyibukkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu asas Islam.

Selepas kewafatan bapanya, pada tahun 1355 Hijrah, beliau ke Mesir bersama adiknya Sayyid Abdul Hayy dengan ditemani oleh abang sulung mereka, Sayyid Ahmad. Di sana beliau melanjutkan pengajian di al Azhar yang masyhur ketika itu menghidangkan pelbagai jenis ilmu Islam.

Antara guru-gurunya di sana ialah Syeikh Mahmud Imam al Mansuri, Syeikh Abdul Salam Ghunaim al Dimyati, Syeikh Muhammad Izzat dan ramai lagi. Di al Azhar, Sayyid Abdul Aziz al Ghumari telah memilih untuk mendalami mazhab Syafii disebabkan kelebihan dan ikatannya yang kuat dengan hadis Nabi SAW.

Pakar Hadis

Selepas melengkap dirinya dengan pelbagai bidang ilmu dalam dirinya, beliau pun menumpukan sepenuh perhatiannya kepada hadis dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.

Hafazannya terhadap hadis amat kuat dan luar biasa ditambah lagi dengan kemahirannya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis seperti ilmu 'ilal dan rijal juga al Jarh wa al Ta'dil.

Kelebihannya berdamping dengan kedua orang abangnya Sayyid Ahmad dan Sayyid Abdullah memberikan banyak kelebihan dan faedah kepadanya sehingga beliau tampil masyhur di dunia Islam sebagai seorang ahli hadis yang terkemuka pada zamannya.

Beliau juga turut mendapat ijazah ilmiah daripada ramai jaguh ulama zamannya seperti Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Syeikh Abdullah Muhamad al Ghazi al Hindi al Makki, al Musnid al Muarrikh Muhammad Raghib al Tabbakh al Halabi, al Musnid Sayyid Ahmad Rafi’ al Tahtawi, al Imam al Akbar Muhammad al Khadir Husain al Tunisi, al ‘Allamah Muhammad Zahid al Kauthari, al ‘Allamah Muhammad Abdul Baqi al Ansari, al Musnid Sayyid Abdul Hayy al Kattani dan ramai lagi.

Apabila beliau bermusafir ke Mekah, para ulama di sana akan menyambut dan mengalu-alukan kedatangannya sebagai ahli hadis yang dikagumi. Mereka juga menganjurkan majlis periwayatan hadis Nabi untuk beliau menyampaikan ilmunya dan majlis tersebut mendapat sambutan yang luar biasa dan dihadiri oleh ramai penuntut ilmu dan umat Islam yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah.

Dalam satu majlisnya di Mekah pada Hari Arafah, beliau juga telah mengijazahkan sebilangan besar ulama Islam yang terdiri daripada tuan guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara dengan ijazah umum. Jumlah mereka yang diijazahkan itu mencecah angka ratusan orang di mana kebanyakan mereka adalah murid kepada Musnid al Dunya al 'Allamah Syeikh Muhammad Yasin al Fadani dari Indonesia, Malaysia dan Pattani.

Di antara tokoh ulama dari Malaysia yang menerima ijazah tersebut ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman pengasas Madrasah Rahmaniah yang dikenali sebagai Pondok Lubuk Tapah dan anaknya Tuan Guru Haji Abdullah, Tuan Guru Yahya Junid dan ramai lagi.

Beliau adalah seorang pakar hadis yang menceburi bidang tasawuf dan menyelam ke dasar lautannya. Pada dirinya terhimpun akhlak mulia ahli sufi yang menjadi kebanggaan Islam. Beliau adalah seorang ulama dan ahli hadis yang mengasihi Rasulullah SAW dan ahli keluarga Nabi SAW. Sering sahaja beliau dilihat mengalirkan air mata apabila dihikayatkan perihal keperibadian, kebaikan, kemuliaan dan sirah kehidupan Baginda SAW dan ahli keluarganya.

Beliau juga adalah seorang yang tegas dalam menyatakan kebenaran dan tidak pernah merasa takut dan gentar dalam menegakkan kalimah yang hak. Pelbagai ujian dan dugaan menimpa dirinya disebabkan kesungguhannya yang amat sangat dalam mempertahankan maruah agama dan umat Islam.

Biografi

Sebilangan daripada sanad-sanad miliknya telah ditakhrij oleh muridnya al Muhaddith Dr. Mahmud Sa’id Mamduh di bawah tajuk Fath al Aziz fi Asanid al Sayyid Abd al Aziz. Beliau juga turut menulis biografinya sendiri bertajuk Ta’rif al Mu’tasi bi Ahwal Nafsi.

Sayyid Abdul Aziz kembali ke kampung halamannya di Tanjah, Maghribi pada bulan Rabiulawal 1366 Hijrah selepas menghabiskan waktu selama 12 tahun menuntut ilmu di Mesir. Di Tanjah, beliau menyibukkan diri dengan menyampaikan ilmu pengetahuan, menulis kitab, menyampaikan ceramah, khutbah dan melazimi bacaan wirid serta zikrullah.

Beliau amat kuat menekankan tentang perlunya amal ibadah itu diamalkan dengan kesungguhan dan ilmu. Beliau pernah mewasiatkan kepada salah seorang murid kanannya agar mengkhususkan satu hari dalam seminggu untuk beramal ibadat dalam erti kata memenuhkannya dengan amalan sunat seperti solat, puasa, bacaan al-Quran, wirid dan selawat ke atas Nabi.

Setelah menghabiskan sebahagian besar usianya dalam lapangan ilmu dan dakwah, Sayyid Abdul Aziz dijemput menemui Ilahi pada hari Jumaat 6 Rejab 1417 Hijrah bersamaan 17 November 1996 Masihi. Beliau disemadikan di sisi makam ahli keluarganya di Zawiyah Siddiqiah, Tanjah Maghribi.

æ Utusan Malaysia. 18/09/2012.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para