Skip to main content

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

KAEDAH Fiqh (قاعدة الفقه) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha (الأمور بمقاصدها) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab (عمر الخطاب): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Niat menjadi asas utama penerimaan sesuatu amalan itu sama ada diterima atau ditolak oleh Allah. Sekiranya sesuatu amalan itu dilakukan secara betul dari segi kaifiat namun salah dari segi niatnya, maka ia tidak diterima oleh Allah.

Sekiranya sesuatu amalan itu betul dari segi niatnya, tetapi salah dari segi kaifiatnya, ia juga menjadi sia-sia di sisi Allah.

Justeru, kita perlu memastikan amalan yang kita lakukan menjadi amalan yang terbaik dan diterima oleh Allah (ahsanu ‘amala - أحسن عملا) dengan cara menjaga dua aspek iaitu memastikan niat ikhlas kerana Allah (akhlasuhu) dan memastikan amalan yang dilakukan benar mengikut Nabi (aswabuhu).

Ibnu Taimiyyah (ابن تيمية) berkata: “Sesungguhnya niat dan keyakinan sentiasa diperhitungkan dalam setiap perbuatan dan tradisi. Sebagaimana kedua-duanya sentiasa diperhitungkan dalam setiap amal ibadah.

“Niatlah yang menjadikan suatu perkara halal atau haram, sah atau rosak/ batal, atau sah dari satu sisi dan batal dari sisi lain. Sebagaimana niat dalam amalan ibadah menjadikannya wajib, atau sunah atau haram atau sah atau rosak/batal.” (rujuk Al-Fatawa Al-Kubra 6/54)

Niat juga membezakan antara halal dan haram serta dosa dan pahala.

Seseorang yang mengambil harta yang dijumpai (luqatah) mendapat dosa sekiranya dia mempunyai niat untuk memilikinya. Sebaliknya, jika dia mengambil barang tersebut dengan niat untuk mencari dan menyerahkan kembali kepada pemiliknya, maka dia mendapat pahala. Niat juga akan menentukan jenis-jenis amalan yang dilakukan dan hukum yang tertakluk padanya.

Sebagai contoh, perbezaan utama antara solat Dhuha dan solat Subuh ialah niat kerana kedua-duanya dilihat sama dari sudut bilangan rakaatnya dan segala rukun fi’li dan qauli yang lain.

Bahkan, sesiapa yang mempunyai niat untuk melakukan kebaikan dan kebajikan tetapi gagal melakukannya kerana terdapat kesulitan (masyaqqah - مشقة), dia akan tetap diberikan pahala oleh Allah.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Zar al-Ghifari (أبو ذر الغفاري): “Sesiapa yang masuk tidur sedangkan dia berniat untuk bangun solat sunat pada tengah malam, namun disebabkan terlalu mengantuk atau tidak terjaga, dan dia terjaga apabila sudah masuk waktu subuh, maka dia akan mendapat pahala dan ditulis apa yang diniatkan itu.” (riwayat al-Nasaie).

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 18/5/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para