Oleh
SITI AINIZA KAMSARI
RAMADAN
sering dianggap sebagai bulan yang paling indah dalam hidup seseorang umat
Islam. Lebih-lebih lagi bagi dapat menyambutnya bersama ahli keluarga. Tentu
juga lebih indah sekali jika dapat menyambutnya di Tanah Suci Mekah dan Madinah
apabila berpeluang mengerjakan ibadat umrah di sana.
Tetapi
bagi ulama besar ini Ramadan yang paling indah yang pernah beliau lalui dan
alami adalah semasa ditahan dalam penjara!
“Akhirnya
kami tiba di Ar Tur, Mesir (Kompleks Penjara) ketika hampir bulan Ramadan yang
penuh keberkatan. Aku beruntung kerana ditempatkan dalam sel nombor dua yang
dipimpin oleh Sheikh Al Ghazali.
“Di
sana aku sering menunaikan solat terawih di belakangnya sebanyak lapan rakaat.
Setiap satu rakaat biasanya Sheikh membaca satu juz al-Quran dan khatam pada
hari terakhir Ramadan.
“Inilah
bulan Ramadan yang paling indah yang pernah aku rasakan seumur hidupku.
Keindahan yang mewarnai hidup kami ketika berpuasa, solat, membaca al-Quran,
berzikir dan aktiviti-aktiviti lain yang benar-benar menghidupkan rohani.
“Kami
merasa berada dalam dakapan dan naungan al-Quran Lebih-lebih lagi kami
berimamkan Sheikh Al Ghazali.
“Bacaan
al-Quran yang beliau alunkan membawa kami terasa dekat kepada Allah,
kata-katanya mengajar kami untuk lebih mengenal Allah dan akhlaknya
mengingatkan kita pada akhirat.”
Begitulah
catatan Profesor Dr. Sheikh Yusuf Abdullah al Qaradawi yang berusia 85 tahun
pada 9 September lalu.
Selama
85 tahun beliau menempuh hidup maka tentu sahaja sebagai ulama atau lebih tepat
pejuang Islam, al Qaradawi adalah sebuah catatan sejarah yang sangat besar!
Begitupun
dalam usia yang sebegini, beliau tetap gigih dan gagah berjuang. Benarlah
sebagaimana yang beliau ucapkan semasa kehadirannya di negara ini suatu masa
dahulu bahawa beliau tetap merasakan dirinya muda (kuat) apabila dikelilingi
oleh kalangan ikhwan-ikhwan, as syabab atau pemuda-pemuda Islam yang gigih
bersamanya untuk berjuang demi Islam.
Malah
dalam peristiwa bersejarah tumbangnya rejim pemerintahan Presiden Mesir, Hosni
Mubarak (Revolusi Rakyat Mesir) pada Februari lalu menyaksikan ulama ini muncul
di tanah airnya sendiri sejak kali terakhirnya berbuat demikian pada tahun 1981
akibat tekanan daripada pihak pemerintah.
Di
Medan Tahrir, al-Qaradawi mengimamkan solat Jumaat dan dalam khutbahnya beliau
lantang bersuara: “Rakyat-rakyat Mesir pada hari ini umpama jin-jin yang
akhirnya terlepas dari lampu-lampu yang selama ini memenjarakan mereka selama
hampir 30 tahun.”
Lalu
kita sering terbaca pemikiran dan hujah-hujah al Qaradawi melalui ucapan,
kenyataan dan dalam 120 buku yang beliau karang.
Namun
beliau tidak memerlukan orang lain untuk menulis kisah perjuangannya sendiri,
apabila beliau menulis buku yang tajuk asalnya Mudzakkirat Al Qaradhawi
(Catatan Al Qaradhawi).
Beliau
melagukan sendiri segala kisah suka duka, cabaran-tribulasi perjuangan dalam
menegakkan risalah-risalah suci Allah sedari usia yang remaja sehingga beliau
dibebaskan daripada penjara pada tahun 1956 dalam usia 30 tahun (sebelum itu
keluar dan masuk penjara telah menjadi sebahagian daripada rutin dalam
hidupnya).
Ia
juga menandakan berakhirnya kekejaman warden penjara tentera Mesir, Hamzah
Basyuni yang amat terkenal dalam sejarah, sering bertindak kejam terhadap
tokoh-tokoh Islam termasuk Sayyid Qutb dan Zainab Al Ghazali. Antara kata-kata
bongkak yang pernah dikeluarkannya: “Sekalipun Allah itu sendiri datang ke
mari, aku akan mencampakkan-Nya ke dalam sel penjara.”
Apabila
tokoh ini tidak dapat dipisahkan dengan Pertubuhan Ikhwan Muslimin, maka segala-galanya
ada diceritakan pengalaman al Qaradawi bersama pertubuhan gerakan Islam yang
kadang kala dikaitkan dengan ekstremis. Walhal ia tidak lebih gerakan dakwah
untuk menyebarkan Islam, mempertahankan Islam dan umatnya jika ada yang
tertindas tanpa mengira sudut geografi dunia.
Sekali
seseorang itu melibatkan dirinya dalam dunia dakwah maka, dirinya itu umpama
Arab Badwi. Ia sebagaimana mengutip kata-kata tokoh gerakan Ikhwan Muslimin
yang sangat tersohor, yang begitu menjadi idola kepada al Qaradawi iaitu Hassan
Al Banna: “Kita ini seperti orang Arab nomad yang kerap berpindah randah dari
satu tempat ke tempat yang lain.”
Begitu
pun pembaca akan lebih tersentuh hati apabila al Qaradawi berkongsi kisah
bagaimana Hassan Banna yang ‘mewakafkan’ dirinya dalam dunia dakwah itu
akhirnya mati dibunuh.
Penuh
Hikmah
Bulan
Februari 1949 mencatatkan peristiwa duka itu yang disifatkan oleh beliau
sebagai pembunuhan bertalu-talu terhadap Hassan Banna.
Pertama,
beliau dibunuh dengan tembakan peluru senjata, kedua; musuh membunuhnya dengan
membiarkannya mati tanpa sebarang pertolongan dan ketiga Hassan Banna mati
dibunuh dengan melarang orang ramai mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan.
Kematian
pemimpin gerakan Islam yang masih kuat pengaruhnya sehingga kini disambut
gembira oleh dunia Barat terutama Amerika Syarikat yang selama ini melihat
Hassan Banna sebagai musuh yang digeruni dan ditakuti walaupun almarhum hanya
bersenjatakan kata-katanya.
Sebaliknya,
ia ditangisi oleh segenap umat Islam dan kematiannya menyebabkan lahirnya lebih
ramai tokoh Ikhwan termasuk al Qaradawi sendiri.
Melalui
buku ini, pembaca akan mengenali secara lebih dekat kisah-kisah peribadi para
pemimpin dan pejuang tegar dalam Ikhwan dan begitu juga mereka yang begitu
memusuhi Ikhwan.
Sarat
dengan pelbagai pengajaran rakaman dan peristiwa sejarah umat Islam. Ia
termasuk soal penindasan terhadap rakyat Palestin dan Islam secara global,
semuanya ditulis dengan penuh hikmah oleh al Qaradawi.
Seharusnya
buku ini segera dimiliki kerana al Qaradawi adalah satu-satunya ulama yang
menempuh pelbagai zaman dan yang masih hidup. Justeru, perjuangannya perlu
dihayati supaya saat beliau masih ada ini, beliau sempat mengecapi dan melihat
kejayaan sebenar yang harus dicapai oleh umat Islam.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 30/9/2011.
Comments
Post a Comment