Susunan
SITI AINIZA KAMSARI
MENURUT
satu catatan, apabila Abdullah bin Ubay mendapat tahu mengenai ayat-ayat yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu yang mencela perbuatan munafiknya,
salah seorang kawannya berkata kepadanya: “Pergilah kamu meminta maaf dan ampun
dari Rasulullah supaya baginda mengampuni kesalahan kamu.”
Tetapi
tahukah anda apa yang dijawab oleh Abdullah bin Ubay ini? “Sekiranya kamu
memerintahkan aku percaya kepada Muhammad, aku sudah pun percaya. Sekiranya
kamu memerintahkan aku memberikan hartaku kepadanya, aku sudah memberikannya.
Maka tidak ada apa lagi yang tinggal sekarang, melainkan kamu meminta supaya
aku sujud kepada Muhammad? Sama sekali tidak.”
Demikian
kata-kata angkuh dan sombong Abdullah bin Ubay sambil mengejek Rasulullah.
Dalam
sebuah kisah yang lain, anaknya, Khubab menemui baginda yang ketika itu sedang
minum bagi melepaskan dahaga. Khubab pun berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah,
tidakkah tuan sudi meninggalkan sedikit air yang tuan minum ini? Daripada air
sisa tuan ini akan saya berikan kepada bapa saya supaya dia pula minum air
tersebut. Mudah-mudahan dengan minum air sisa tuan ini, bapa saya dibersihkan
hatinya oleh Allah”.
Baginda
pun menunaikan permintaan Khubab lalu si anak pun segera membawa air tersebut
kepada si bapa dan diminta bapanya itu supaya segera minum air tersebut.
Namun
Abdullah pun bertanya: “Air apakah ini?”
Si
anak pun menjawab: “Ini adalah air sisa minuman Rasulullah yang sengaja saya
bawa kepada bapa supaya bapa sudi meminumnya. Dengan demikian, semoga Allah
membersihkan hati bapa”.
Dalam
nada yang terkejut dan marah, Abdullah pun menjawab: “Mengapa kamu tidak datang
kepada aku dengan membawa air kencing ibu kamu sahaja? Ini kerana tahukah kamu
bahawa air kencing ibu kamu itu lebih bersih daripada air sisa Muhammad itu”.
Mendengarkan
bapanya berkata begitu, Khubab berasa sangat marah dan beliau terus mengadu
kepada Nabi Muhammad dan berkata: “Ya Rasulullah, tolonglah benarkan saya
membunuh bapa saya yang jahat itu”.
Namun
baginda menjawab: “Hendaklah kamu berkawan dengan bapa kamu itu dan berbuat
baiklah dengannya”.
Fitnah
Abdullah bin Ubay tidak habis di situ sahaja malah dengan turunnya ayat-ayat
mengenai sifat-sifat munafik itu sedikit pun tidak memberi kesan kepadanya.
Ini
kerana tersebarnya satu lagi fitnah darinya, yang kali ini adalah lebih
dahsyat.
Fitnah
kedua yang tersebar luas angkara perbuatan Abdullah bin Ubay, apabila dia
menyebarkan kononnya isteri kesayangan baginda, Siti Aishah r.a melakukan
hubungan sumbang dengan lelaki lain.
Kisahnya
apabila baginda menjadi ketua tentera Islam yang hendak menyerang kabilah Bani
Musthaliq itu. Antara isteri baginda yang turut serta adalah Ummu Salamah dan
Siti Aishah.
Sudah
menjadi kebiasaan baginda akan mengadakan undian sebagai satu cara yang adil
untuk menentukan isteri mana yang terpilih mengikut baginda untuk satu
perjalanan yang jauh. Sesiapa yang terpilih namanya, maka dialah yang akan
bersama dengan baginda.
Setelah
undian, nama Ummu Salamah dan Siti Aishah terpilih berangkat untuk bersama
menyerang Bani Musthaliq itu.
Setelah
berjaya dalam misi menyekat Bani Musthaliq daripada menyerang Madinah, pasukan
tentera Islam pun berangkat pulang dengan singgah untuk berhenti rehat di satu
tempat.
Dalam
perjalanan itu, isteri-isteri nabi lazimnya diletakkan di atas haudaj atau tandu
yang ditutup dengan kelambu dan diletakkan di atas unta. Apabila hendak naik ke
atas unta itu, para isteri baginda perlu masuk ke dalam haudaj terlebih dahulu
kemudian barulah haudaj itu akan dinaikkan ke atas belakang unta.
Siti
Aishah pada masa itu, mempunyai bentuk badan yang kurus dan kecil sahaja
sehingga orang yang mengangkat haudajnya hampir-hampir tidak merasa berat
badannya walaupun beliau berada di dalamnya.
Ketika
berhenti di tempat untuk berehat itu, hari telah larut malam. Siti Aishah terpaksa
keluar dari haudajnya kerana hendak membuang air. Kemudian dia kembali masuk ke
dalam haudaj dan menunggu untuk dinaikkan ke atas unta. Akan tetapi baru dia
sedar seutas kalung kesayangan yang diperbuat dari urat kayu dafa yang
dipakainya telah tercicir.
Mencari
kalung
Siti
Aishah pun keluar dari haudaj dan mencari semula kalungnya itu.
Setelah
menemui semula kalungnya itu, Siti Aishah pun berlari-lari anak untuk segera
masuk ke dalam haudajnya. Rupa-rupanya sepeninggalan beliau mencari kalungnya
itu, semua anggota tentera yang lain termasuk Rasulullah telah meninggalkan
tempat tersebut bagi meneruskan perjalanan ke Madinah.
Unta
yang dinaiki oleh Siti Aishah juga telah tiada kerana mereka mungkin menyangka
isteri baginda telah ada dalam tandunya itu.
Tinggallah
Siti Aishah seorang diri di tengah-tengah kegelapan malam. Pada mulanya beliau
ingin mengejar rombongan tersebut tetapi oleh kerana keadaan yang begitu gelap
Siti Aishah bimbang akan sesat.
Lalu
beliau pun mengambil keputusan menunggu sahaja di tempat beliau ditinggalkan
itu dan berharap mereka akhirnya sedar akan ketiadaannya dan akan berpatah
balik untuk mengambilnya semula.
Oleh
kerana terlalu letih dan mengantuk, Siti Aishah pun tertidur.
Telah
menjadi kebiasaan, apabila tentera Islam kembali daripada mana-mana peperangan,
seorang dari anggota tentera akan ditugaskan untuk berjalan di belakang sekali.
Ini
bagi memastikan keselamatan anggota tentera lain yang di hadapan terjamin di
samping bagi memastikan tiada apa-apa yang tercicir.
Kali
ini tugas yang seperti ini diserahkan kepada seorang pemuda, Shafwan bin Mu’aththal.
Shafwan
yang berjalan di belakang tentera Islam akhirnya tiba di tempat mereka berehat
itu dan beliau sangat terkejut kerana dari jauh berbalam-balam beliau nampak
akan bayang seseorang yang sedang tidur.
Lalu
Shafwan pun mendekati orang tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila
mendapati orang yang sedang tidur itu adalah isteri Rasulullah, Siti Aishah.
Sehingga
dia mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raajiun.
Ucapan
tersebut menyebabkan Siti Aishah sendiri terkejut daripada tidurnya dan dengan
segera dia pun bingkas bangun.
Shafwan
pun merendahkan untanya dan memberi isyarat supaya Siti Aishah naik ke atas
untanya itu. Dikatakan mereka langsung tidak bercakap walaupun sepatah pun
kerana demi menghormati kedudukan Siti Aishah sebagai isteri kepada Rasulullah.
Shafwan
kemudiannya hanya berjalan kaki sambil memegang tali dan membawa unta yang
dinaiki oleh Siti Aishah itu dan cuba mengejar semula rombongan anggota tentera
Muslim.
Sehinggalah
hari menjelang siang, akhirnya Shafwan dan Siti Aishah pun bertemu semula
dengan rombongan tentera Islam yang kebetulan berhenti rehat di suatu tempat.
Ketibaan
Shafwan dan Siti Aishah menyebabkan mereka yang lain turut terkejut dan
akhirnya mereka menyedari apa yang berlaku dan tidaklah timbul sebarang masalah
apatah lagi untuk menyebarkan sebarang fitnah.
Namun
tidak kepada Abdullah bin Ubay, yang menyaksikan kehadiran Shafwan dan Siti
Aishah itu memberikan satu ilham kepadanya untuk menimbulkan fitnah yang besar.
“Demi
tuhan, tentu Aishah tidak selamat bersama Shafwan dan Shafwan sendiri juga
tentu tidak selamat daripada Aishah.
“Lihatlah
isteri seorang Nabi didapati bermalam dengan seorang lelaki sampai waktu pagi
hari,” kata Abdullah bin Ubay yang mula menyebarkan fitnah-fitnah terhadap
isteri baginda itu dari perjalanan pulang sehinggalah setibanya mereka di
Madinah.
Kebetulan
pula Siti Aishah jatuh sakit sebulan lamanya, sepanjang dalam tempoh tersebut
fitnah yang tersebar semakin menjadi-jadi!
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 19/10/2011.
Comments
Post a Comment