Susunan
SITI AINIZA KAMSARI
SELEPAS
lapan hari menunggu, akhirnya yang dinanti tidak kunjung tiba. Tentera Quraisy
yang kononnya hendak membalas kekalahan mereka di Perang Badar pertama dahulu,
tidak tampil di medan Perang Badar ke II.
Dengan
membiarkan tentera Islam tertunggu-tunggu,mereka sebaliknya berpatah balik ke
Mekah.
Selepas
mendapati pihak Quraisy tidak ‘berani’ berhadapan dengan tentera Islam,
Rasulullah memerintahkan para pengikut dan anggota tentera supaya pulang ke
Madinah.
Walaupun
seperti membuang masa sahaja, namun sekurang-kurangnya tentera Islam pulang
dengan kejayaan iaitu membawa untung yang besar ekoran berniaga di Bazar Badar.
Berhubung
dengan peristiwa itu, Allah menurunkan wahyu kepada nabi yang bermaksud: Iaitu
orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan rasul-Nya (supaya keluar
menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di
medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka
dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
Mereka
juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa
kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu
hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka
lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus
(yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.
Setelah
(pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia
dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula
menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat
besar.
Sesungguhnya
(pembawa berita) yang demikian itu adalah syaitan yang (bertujuan)
menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik).
Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan
cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Dan
janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang
segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak
sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah
menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat
kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar. (Ali-‘Imran
172-176).
Demikianlah
secara ringkas kisah Perang Badar Al Akhirah yang disebut juga Perang Badrul
Mau'id. Peristiwa itu sedikit sebanyak berjaya menghapuskan rasa malu
terconteng di kalangan kaum Muslimin yang sepanjang tahun menerima pelbagai
kata-kata nista akibat kekalahan di Uhud.
Situasi
ini juga memperlihatkan tindakan Abu Suffian yang mengarahkan tenteranya
kembali ke ke Mekah itu sebagai perbuatan pengecut.
Keadaan
itu menyebabkan kehormatan kaum Quraisy tercemar, apatah lagi sebelum itu
mereka tewas di Perang Badar.
Dalam
pada elok juga kita mengikuti beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah
yang bermula selepas Perang Uhud sehingga tahun ke-4 Hijrah. Selain kisah-kisah
peperangan mahupun tindakan ketenteraan bagi mempertahankan Islam dan para
pengikut Rasulullah di Madinah.
Peristiwa-peristiwa
tersebut termasuklah:
ZAINAB
binti Khuzaimah yang dinikahi baginda pada Ramadan tahun ke-3 Hijrah meninggal
dunia pada bulan Rabiulakhir tahun ke-4 Hijrah. Zainab menjadi isteri
Rasulullah lebih kurang lapan bulan sahaja.
PADA
bulan Jamadilakhir tahun 4 Hijrah, Abdullah bin Uthman (cucu Rasulullah, putera
kepada Ruqayyah yang berkahwin dengan Uthman bin Affan) meninggal dunia pada
usia enam tahun. Cucu baginda itu dilahirkan di Habsyah ketika ibu bapanya
berhijrah ke sana.
PADA
bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah, puteri Nabi bernama Fatimah Az Zahra (isteri
kepada Ali bin Abi Talib) melahirkan kembar lelaki, Hassan dan Hussin (walaupun
sesetengah mengatakan bukan kembar, iaitu Hussin merupakan adik kepada Hassan).
PADA
akhir tahun 4 Hijrah, ibu Ali bin Abi Talib, iaitu Fatimah binti Asad, (isteri
kepada bapa saudara baginda Abi Talib) meninggal dunia. Maka ia merupakan
kehilangan besar kepada baginda kerana Fatimah tidak ubahnya seperti ibu
kandung baginda, yang menjaga dan memelihara baginda khususnya sejak baginda
kematian ibunya, Siti Aminah sehinggalah baginda berkahwin dengan Siti
Khadijah.
PADA
bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah pula, baginda bernikah dengan seorang janda,
Ummu Salamah. Beliau adalah balu Abu Salamah atau Abdullah bin Abdul Asad.
Pasangan
Abu Salamah dan Ummu Salamah adalah suami isteri yang sangat mencintai Islam
dan termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Mereka berhijrah
sebanyak dua kali iaitu ke Habsyah dan ke Madinah.
Abu
Salamah kemudiannya meninggal dunia ketika mengetuai tentera Muslimin kepada
Bani Asad, dengan meninggalkan dua anak lelaki iaitu Salamah dan Arma serta
seorang anak perempuan bernama Zainab.
Selepas
kematian suaminya, Ummu Salamah hidup dalam kesusahan lalu baginda berkahwin
dengannya untuk meringankan beban janda tersebut.
MENURUT
catatan, pada tahun itu juga, sesudah kaum Yahudi Bani Nadhir diusir dari
Madinah, Rasulullah melantik seorang Yahudi yang mahir dalam bahasa Ibrani dan
Suryani menjadi penulis baginda dalam pelbagai urusan membabitkan kaum
tersebut.
Baginda
juga menyuruh seorang sahabat, Zaid bin Tsabit mempelajari bahasa Ibrani dan
Suryani juga yang kemudiannya dilantik menjadi penulis kepada baginda untuk
pelbagai urusan.
Namun
peristiwa yang tidak kurang pentingnya berlaku pada akhir tahun ke-4 Hijrah,
iaitu sekembali dari Perang Badar Al Akhirah itu.
Mungkin
ramai yang pernah mendengar mengenai Daumatul Jandal (معركة دومة الجندل) tetapi
kurang mengetahui kisah di sebalik nama tersebut.
Daumatul
Jandal adalah nama kota di negara Syam tetapi paling dekat kedudukannya dengan
Madinah.
Akan
tetapi apa yang berlaku ialah satu peristiwa Perang, yang dikenali sebagai
Perang Daumatul Jandal yang tidak kurang menariknya juga kisahnya kepada kita
semua.
Ini
apabila baginda mendapat berita berlakunya satu kekacauan di Kota Daumatul
Jandal atau lebih tepat berpunca dari penduduk Kota tersebut itu sendiri.
Penduduk
kota tersebut dikatakan suka merompak dan menganggu orang luar, khususnya para
pedagang dari Madinah yang melintasi atau melalui Kota Daumatul Jandal dalam
perjalanan mereka ke Syam untuk berdagang.
Dalam
pada itu baginda juga mendapat tahu penduduk Kota tersebut juga dikatakan
hendak menyerang Kota Madinah, yang menjadi pusat pentadbiran sebuah negara
Islam.
Apabila
mendengar ada ancaman dari penduduk Kota Daumatul Jandal, baginda segera
membuat persiapan untuk berhadapan dengan mereka! Ia sebagai mana biasa sebelum
pihak musuh menyerang, baginda sentiasa mahu mendahului serangan.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 20/9/2011.
Comments
Post a Comment