Skip to main content

Lapan Hari Tunggu Musuh


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SETELAH selesai mengerjakan solat asar secara khauf, Rasulullah dan seluruh anggota tentera bersedia menghadapi musuh daripada dua kumpulan bangsa Arab iaitu Bani Muharib dan Bani Tsalabah.

Namun dikatakan pihak musuh membatalkan niat menyerang malah bertempiaran lari menyelamatkan diri setelah melihat kekuatan tentera Islam.

Bukan jumlah anggota yang ramai yang ditakutkan tetapi ikatan perpaduan, hubungan kuat dan erat yang ditunjukkan telah menimbulkan rasa gerun pihak musuh.

Di samping ketokohan dan kepimpinan Rasulullah yang unggul, memberikan isyarat jelas kepada pihak musuh bahawa baginda bukan seorang yang mudah untuk dilawan dan dikalahkan.

Peristiwa itu dikenali sebagai Perang Zatur Riqa atau disebut juga sebagai Perang Al Ajib.

Selesai Perang Zatur Riqa, baginda memasuki satu lagi perang dengan nama yang cukup besar, iaitu Perang Badar II.

Sebelum ini ia dikenali sebagai Badar Al Kubra tetapi kali ini lebih dikenali sebagai Badar Al Akhirah.

Perang itu meletus sebagai tindak balas Rasulullah yang menyahut cabaran pembesar Quraisy yang juga ketua tentera musuh paling besar ketika itu, iaitu Abu Suffian bin Harb.

Abu Suffian mencabar Rasulullah untuk berperang lagi di Badar selepas pihaknya dikatakan berjaya dalam pertempuran di Bukit Uhud.

Kekalahan yang menimpa mereka semasa dalam Perang Badar Al Kubra masih tidak terbalas. Kemenangan di Uhud pula tidak bermakna kerana mereka pulang tanpa sebarang harta rampasan perang.

Perang Badar II berlangsung pada bulan Syaaban tahun keempat hijrah, iaitu pada musim panas. Ketika itu di Badar sedang berlangsung satu bazar perniagaan yang besar.

Namun, kerana Badar juga yang menjadi pilihan Abu Suffian maka Rasulullah pun menghantar surat dan memberitahu Abu Suffian bahawa tentera Islam seramai 1,500 anggota sudah mula bergerak menuju ke Badar dan bersedia menyahut cabaran.

Abu Suffian agak terkejut apabila menerima berita itu kerana tidak menyangka bahawa musuh ketatnya berani menyahut cabaran setelah kehilangan ramai tentera di medan Uhud.

Dia menyangka selepas peristiwa Uhud, kedudukan Islam di Madinah semakin hari semakin lemah dan tidak berani lagi memerangi mana-mana pihak.

Namun beliau tetap membalas surat Rasulullah itu dengan menyatakan pihaknya telah lama bersedia untuk memerangi pihak Islam demi segala-gala cita dan dendam kesumat yang tersemat di hati.

Namun dikatakan Abu Suffian sebenarnya enggan bertempur dengan pihak Islam setelah mendengar nasihat dari pelbagai pihak.

Bagaimanapun, supaya tidak menanggung malu kerana tidak menepati janjinya sendiri, Abu Suffian akhirnya terpaksa mengerah 2,000 anggota tentera untuk menghadapi tentera Islam.

Melalui surat yang dikirim melalui seorang utusannya, iaitu Nuaim bin Mas'ud Al Asyja'i, Abu Suffian memberitahu pihaknya juga telah mula bergerak menuju ke Badar dengan kelengkapan tentera yang lebih hebat daripada yang biasa.

"Sekiranya tentera Islam berani hendak menyerang, pastinya mereka akan hancur sekelip mata," kata Abu Suffian dengan bongkak dalam surat itu.

Surat itu disampaikan ke tangan Rasulullah dan sambil cuba menakut-nakutkan baginda bahawa bala tentera Quraisy kali in lebih kuat dan lebih bersedia.

Nuaim juga dengan beraninya menjaja cerita ke seluruh bandar Madinah mengenai kekuatan tentera Quraisy bagi tujuan menakut-nakutkan mereka.

Surat yang dibawa dan tindakan Nuaim itu menyebabkan sahabat-sahabat baginda, Abu Bakar dan Umar bimbang jika Rasulullah menarik diri dengan memanggil balik tentera-tentera Islam dari bertempur di medan Badar.

"Sekiranya kita tidak menepati janji mereka dan tentangan mereka, sudah tentu mereka menganggap kita penakut dan mereka akan bersuka ria kerana kita gagal berhadapan dengan kafir Quraisy itu kali ini," kata Abu Bakar.

Sambil tersenyum baginda pun menjawab: "Demi Zat yang menguasai diri dengan tangan-Nya (kekuatan). Sesungguhnya aku mesti keluar dari Madinah ini (untuk ke medan Badar) sekalipun aku perlu keluar seorang diri tanpa seorang pun yang ingin bersamaku".

Tanpa menghiraukan segala usaha jahat yang dilakukan oleh pihak musuh, kecuali memohon pertolongan dari Allah, Nabi Muhammad dan seluruh bala tentera tetap meneruskan rancangan mereka ke Badar.

Dengan kepimpinan di Madinah kini diserahkan kepada Abdullah bin Rawahah dan Ali bin Abi Talib sebagaimana sebelum ini, beliau paling layak membawa panji atau bendera Islam.

Namun yang menariknya kali ini ada kalangan tentera Islam yang membawa pelbagai barang dagangan untuk diniagakan sempena bazar besar yang sedang berlangsung di Badar.

Dari arah Mekah, tentera kafir Quraisy yang seramai 2,000 anggota juga sedang bergerak ke Badar. Namun dengan jumlah yang sebegitu ramai anggota tentera Abu Suffian mempunyai perancangannya yang tersendiri.

Dalam satu taklimat perangnya Abu Suffian berkata di hadapan bala tenteranya: "Kita sudah menyuruh Nuaim ke Madinah dan dia sempat juga menakut-nakutkan Muhammad dan para pengikut setianya di Madinah supaya mereka tidak keluar ke Badar.

"Ini kerana tanpa berperang, kita mampu beroleh kemenangan, iaitu kita harus juga berangkat ke Badar dan terus berjalan sehari semalam atau dua hari dua malam sahaja, kemudian kita kembali semula ke Mekah.

"Sekiranya Muhammad dan para tenteranya tidak berangkat dari Madinah, maka pemergian kita ke Badar ini sekadar satu gertak dan kita berjaya menakut-nakutkan mereka dan ini memberi kemenangan percuma kepada kita tanpa perlu bersusah-payah untuk berperang.

"Namun sekiranya mereka tetap ke Badar untuk berperang maka biarkan sahaja mereka menunggu kita sedangkan kita telah kembali semula ke Mekah tanpa pengetahuan mereka.

"Ini kerana sekarang ini adalah musim panas, kita tidak sepatutnya keluar untuk berperang".

Dengan perancangan yang seperti itu, anggota tentera kafir Mekah hanya patuh dan taat sahaja dengan rancangan dan arahan ketua mereka itu.

Rasulullah dan para anggota tentera akhirnya sampai ke lokasi perang di Badar. Tanpa mengetahui muslihat pihak musuh, tentu sahaja tentera Islam tidak menemui musuh mereka di medan tempur Badar.

Lalu mereka pun mendirikan markas dan menunggu akan kehadiran pihak musuh. Masa menunggu itu digunakan oleh tentera Islam itu untuk berniaga di medan bazar Badar.

Tanpa disangka mereka beroleh keuntungan yang sungguh lumayan daripada setiap barang dagangan yang mereka niagakan di situ.

Dalam pada itu, tentera Musyrikin selepas sampai di sebuah tempat bernama Dusun Majannah, iaitu sebelum sampai ke destinasi Badar, mereka pun segera kembali semula ke Mekah sebagaimana dirancang.

Tentera Islam pula menunggu-nunggu kehadiran musuh selama lapan hari.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para