Salah
satu peninggalan ilmu terpenting dalam Islam ialah penulisan sejarah atau
historiografi. Sejak pertengahan abad kedua, penulisan sejarah, baik riwayat
hidup Nabi Muhammad SAW mahupun maklumat lain telah dimulakan oleh para penulis
Islam.
Salah
satu karya terkenal adalah Sirah Ibnu Ishaq karya Muhammad bin Ishaq bin Yasar
[محمد بن إسحاق بن يسار] (m. 768) yang kemudian disemak oleh Ibnu Hisyam [ابن هشام] (m. 833). Buku
ini lebih dikenali dengan nama Sirah Ibnu Hisyam.
Sebagai
tokoh yang istimewa di kalangan pengikutnya, Nabi Muhammad SAW menjadi pusat
tumpuan penulis Islam. Riwayat hidup baginda telah dimulakan oleh para ahli
hadis sejak pengumpulan tutur kata dan perbuatan Nabi Muhammad (hadis).
Inilah
pengasas historiografi Islam. Daripada penulisan riwayat hidup ini, penulis
Islam beranjak kepada penulisan riwayat hidup para sahabat, tabiin dan generasi
selanjutnya.
Penulisan
ini menjadi salah satu cabang ilmu terpenting dalam perbahasan hadis. Para
ulama hadis menyebutnya sebagai ilm al-Rijalatau ilmu yang menjelaskan riwayat hidup perawi
hadis.
Tarikh
Orang
Arab menyebut sejarah dengan kata tarikh (Tarikh). Penulis pertama yang
menggunakan istilah tarikh untuk penulisan sejarah ialah Ibnu Jarir al-Tabari [ابن جرير
الطبري] (839-923),
sejarawan dari Baghdad.
Beliau
menamakan bukunya Tarikh al-Umamwa al-Muluk [تاريخ الأمم
والملوك] (Sejarah Bangsa
dan Raja). Karya al-Tabari ini merupakan buku sejarah pertama yang ditulis
secara menyeluruh.
Penulis
sejarah selepas itu terhutang budi kepada al-Tabari bukan hanya kerana mereka
menggunakan buku itu sebagai rujukan, malah turut menggunakan kaedah
historiografi al-Tabari.
Abdur
Rahman Al-Jabarti
Pada
era moden, penulisan semula sejarah Islam dilakukan oleh beberapa cendekiawan
dari Timur Tengah dan Asia Selatan. Di Mesir, gerakan penulisan sejarah
dimulakan sejak abad ke-18, seiring dengan gerakan kebangkitan intelektual di
Negara itu.
Sejarawan
pertama Abdul Rahman al-Jabarti [عبد الرحمن الجبرتى] (1753-1822)
melalui bukunya Aja’ib al-Athar [عجائب الآثار
في التراجم والأخبار]
(Jejak Ajaib), lebih banyak menumpukan pada penulisan sejarah Mamluk dan jatuh
bangunnya kerajaan Islam sehingga kemasukan penjajah Perancis ke Mesir.
Karya
Sejarah penting lain adalah Tarikh al-Tamaddun al-Islami [تاريخ التمدن
الاسلامي] (Sejarah
Peradaban Islam) yang ditulis oleh Jurji Zaidan [جورجي زيدان] (1861-1914) dan
trilogi sejarah Islam, Fajr al-Islam [فجر الإسلام], Duha al-Islam [ضحى الإسلام] dan Zuhr
al-Islam [ظهور الإسلام] yang ditulis oleh Ahmad Amin [أحمد أمين].
Kitab
Muqaddimah
Antara
karya sejarah yang paling penting dan terkenal ialah Kitab al-‘IbarwaDiwan
al-Mubtada’ wa al-Khabar fi Ayyam al-‘Arab wa al-‘Ajamwa al-Barbar [العبر وديوان
المبتدأ والخبر في أيام العرب والعجم والبربر] karya Ibnu Khaldun [ابن خلدون] yang terdiri
daripada tujuh jilid. Kitab ini lebih dikenali dengan nama pendeknya Muqaddimah
(Pengantar Umum).
Muqaddimah
sebenarnya merujuk kepada pengantar bagi keseluruhan kitab Ibnu Khaldun itu.
Kitab ini juga dianggap sebagai falsafah sejarah. Dalam buku tersebut Ibnu
Khaldun juga menjelaskan teori dan metodologi penelitian sejarah secara
sistematik dan menyeluruh.
Kemuncak
kejayaan
Kemuncak
penulisan sejarah dalam Islam adalah pada abad ke-7 dan ke-8 H. Puluhan buku
sejarah yang tebalnya menyamai ensiklopedia pada era moden, ditulis oleh
beberapa orang ilmuwan Islam seperti al-Kamil fi al-Tarikh [الكامل في
التاريخ] (Sejarah Lengkap)
karya Ibnu Asir [ابن الأثير] (1160-1233), Mu’jam al-Buldan [معجم البلدان] (Kamus Negara)
karya Yaqut al-Hamawi [ياقوت
الحموي] (1179-1229;
sejarawan dari Iraq) dan al-Bidayah wa al-Nihayah [البداية
والنهاية] (Permulaan dan
Akhir) karya Ibnu Khathir [ابن كثير] (1300-1373).
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 26/7/2011.
Comments
Post a Comment