Susunan
SITI AINIZA KAMSARI
BAGI
memerangi Kabilah Bani Asad yang merancang menawan Kota Madinah, Rasulullah SAW
berpesan kepada Abu Salamah selaku Ketua Tentera supaya seluruh anggota tentera
Islam seramai 150 orang itu berjalan hanya pada waktu malam. Pada waktu siang
mereka diminta bersembunyi di lereng-lereng gunung.
Jalan
yang hendak dilalui pula mestilah laluan yang berbeza. Bukan jalan yang biasa
dilalui orang. Ini agar kedatangan pasukan tentera Islam tidak diketahui oleh pihak
musuh.
Pada
awal bulan Muharam tahun ke-4 Hijrah, pasukan tentera Islam mula berangkat dari
Madinah secara senyap-senyap dan terus menuju ke daerah Najd, perkampungan Bani
Asad.
Dalam
beberapa hari sahaja mereka sampai ke perkampungan itu tanpa diketahui para
penduduknya. Lalu tanpa membuang masa, seluruh perkampungan itu terus dikepung
oleh tentera Islam.
Pada
asalnya, kabilah Bani Asad telah merancang membuat serangan mengejut ke atas
Madinah. Bagaimanapun, mereka cukup terkejut apabila mendapati mereka pula
akhirnya yang terkepung.
Setelah
mendapat arahan daripada Abu Salamah, tentera Islam terus melakukan satu
serangan ke atas penduduk Bani Asad yang menyebabkan mereka tidak dapat
bertahan sehingga terpaksa lari menyelamatkan diri.
Ini
termasuklah ketua-ketua mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar mahu
bangkit menentang Rasulullah.
Tetapi
kini merekalah yang paling pengecut dan yang paling dahulu melarikan diri bagi
menyelamatkan tengkuk sendiri.
Mereka
digempur habis-habisan sehingga seluruh perkampungan itu bertukar menjadi kelam
kabut dan ditawan dengan mudahnya oleh tentera Islam.
Lalu
Abu Salamah memerintahkan sebahagian anggota tenteranya supaya terus menawan
perkampungan Bani Asad. Sebahagian lagi diarahkan memburu musuh-musuh yang
melarikan diri.
Maka
dalam tempoh yang singkat sahaja, keseluruhan perkampungan Bani Asad dapat
ditawan.
Kabilah
itu dapat dikalahkan. Segala harta benda dan haiwan ternakan mereka dijadikan
harta rampasan perang.
Hasil
kejayaan itu, anggota tentera Islam kembali semula ke Madinah dengan membawa
harta rampasan perang yang apabila dibahagi-bahagikan setiap seorang mendapat
tujuh ekor unta dan beberapa ekor kambing.
Perang
itu dikatakan berlangsung dalam tempoh 10 hari. Malangnya Abu Salamah yang berjaya
dalam misinya itu meninggal dunia sejurus pulang dari memerangi Kabilah Bani
Asad.
Ia
ekoran kecederaan yang dialaminya semasa Perang Uhud.
Begitulah
semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pahlawan seperti Abu Salamah yang
tetap bertempur untuk melawan musuh-musuh Islam walaupun dirinya sendiri dalam
keadaan yang masih luka dan cedera.
Tidak
cukup dengan Bani Asad yang merancang menyerang dan menghapuskan umat Islam di
Madinah, satu lagi kabilah Arab turut merancang melakukan serangan yang sama.
Baginda
mendapat tahu kabilah tersebut, iaitu Kabilah Urnah (satu kabilah yang tinggal
di sebuah lembah berdekatan dengan Arafah, Mekah).
Kabilah
yang diketuai Khalid bin Sufyan Nabaih al Hudzali dikatakan sudah mengumpul
pengikutnya dan menyusun strategi serta kekuatan bagi memerangi umat Islam di
Madinah.
Mendengarkan
semua ini, Rasulullah segera memerintahkan Abdullah bin Unais, seorang lagi
pahlawan Islam yang gagah lagi pintar bertindak sebagai perisik untuk menemui
sendiri ketua kabilah Urnah itu bagi memastikan kesahihan berita yang diterima
itu.
“Berangkatlah
kamu untuk menemui sendiri Khalid bin Sufyan dan siasatlah, benarkah dia ada
mengarahkan supaya para pengikutnya untuk menyerang kedudukan kita di Madinah
ini,” ujar baginda.
Abdullah
pun yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menjayakan misi itu telah meminta
baginda menerangkan bagaimana rupa paras dan sikap Khalid bin Sufyan itu.
“Sekiranya
kamu bertemu dengan Khalid, seakan-akan kamu berjumpa dengan seekor syaitan.
Antara tanda-tandanya, Khalid seorang yang berambut panjang dengan rupa paras
yang pasti membuatkan kamu takut melihatnya.
“Namun
kamu jangan bimbang, jika kamu pintar dan bijak, pastinya syaitan ini boleh
ditundukkan. Andai benar dia merancang untuk menyerang umat Islam, kamu tiada
pilihan kecuali Khalid mesti dibunuh,” kata baginda.
Abdullah
memahami sepenuhnya segala penjelasan dan arahan baginda itu lalu segera
memohon untuk berangkat seorang diri bagi menjayakan satu misi penting yang
boleh mencetuskan segala kemungkinan
Andai
tersilap langkah, segala-galanya akan menjadi padah!
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 13/7/2011.
Comments
Post a Comment