Oleh PANEL
PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
KEISTIMEWAAN
Rasulullah SAW dan karamat para wali adalah jenis yang sama dari aspek hukum
dan naqal (periwayatannya), yakni kita tidak perlu bersikap ketat dan tegas
dalam meriwayatkannya sebagaimana yang dilakukan dalam soal hukum halal dan
haram.
Keistimewaan dan
karamat hanya berkisar di sekitar manaqib (biografi) seseorang dan
kelebihannya.
Oleh sebab itu,
pendirian Sheikh Ibnu Taimiyyah (ابن تيمية) mengenai karamat para wali, sama dengan
pendiriannya tentang keistimewaan Nabi Muhammad. Bahkan, beliau juga mengutip
dan menaqalkan di dalam kitab-kitabnya, sejumlah contoh karamat para wali dan
perkara-perkara yang mencarik adat yang pernah terjadi pada permulaan Islam (zaman
sahabat r.a).
Jika kita
mengkaji tentang darjat hadis-hadis yang menyebut mengenai perkara tersebut,
sanad-sanad dan jalan-jalan penetapannya, nescaya kita akan mendapati antara
hadis-hadis itu ada yang sahih, hasan dan daif - الضعيف; dan ada pula yang maqbul (diterima) dan
mardud (ditolak) bahkan, ada pula yang munkar - المنكر dan syaz - الشاذ (ganjil).
Kesemua darjat
hadis seperti itu, diterima dalam bab ini. Antaranya, perkataan Ibnu Taimiyyah
mengenai karamat sebahagian sahabat.
1) Ummu Aiman (أم
أيمن) pernah keluar untuk
berhijrah. Dia berangkat tanpa membawa sebarang bekalan, bahkan tanpa membawa
air. Dia hampir mati kerana kehausan. Tetapi, ketika waktu berbuka dan dia
berpuasa dalam perjalanannya, dia mendengar suara di atas kepalanya.
Ketika
mengangkat kepala, dia melihat ada sebuah timba tergantung. Dia pun minum
sampai kenyang. Setelah kejadian itu, dia tidak pernah kehausan lagi sepanjang
hayatnya.
2) Safinah (سفينة), pembantu Rasulullah SAW, memberitahu
kepada seekor singa bahawa dia adalah utusan Rasulullah SAW. Safinah r.a
kemudian berjalan dengan ditemani oleh singa tersebut hingga sampai ke
destinasinya.
3) Al-Bara’ ibn
Malik (البراء بن مالك) termasuk orang yang jika bersumpah atas nama Allah, sumpahnya
(doanya) sering dimakbulkan. Ketika berhadapan dengan peperangan yang begitu
menekan kaum Muslimin, mereka kerap mengatakan: “Wahai Bara’! Bersumpahlah
dengan nama Tuhanmu! (Mintalah kepada Tuhanmu!)”.
Maka, dia pun
mengucapkan: “Wahai Tuhan! Aku bersumpah dengan (nama)Mu, supaya Engkau
mengurniakan kemenangan kepada kita." Musuh pun akhirnya kalah. Ketika
Peperangan Qadisiyah, dia berkata: “Aku bersumpah kepada-Mu, wahai Tuhanku,
kerana Engkau telah memberikan bahu-bahu mereka kepada kita (kemenangan), maka
jadikanlah aku orang yang pertama syahid.”
Maka mereka pun
akhirnya ‘memberikan bahu mereka’ (menyerah kalah), dan Al-Bara’ akhirnya gugur
sebagai syahid.
4) Khalid ibn
Walid (خالد بن الوليد), pahlawan kaum Muslimin yang terkenal, telah mengepung benteng
musuh yang kukuh. Maka mereka berkata: “Kita tidak akan masuk Islam kecuali
jika kamu berani meminum racun”.
Khalid pun
meminumnya. Ternyata, racun itu tidak memudaratkannya.
5) Ketika
mengutus pasukan tentera, Umar ibn al Khattab melantik seorang lelaki bernama
Sariyah sebagai pemimpin. Ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar,
tiba-tiba dia berteriak dari mimbar seraya berkata: “Wahai Sariyah! (Pergilah
menuju ke) gunung! Wahai Sariyah! Gunung!”
Maka pada suatu
hari, pemimpin tentera itu menemui Umar dan bertanya kepadanya. Dia berkata: “Wahai
Amir al Mukminin! Ketika kita bertempur dengan musuh, kita telah dikalahkan.
Tiba-tiba ada suatu suara yang kuat berteriak “Wahai Sariyah! (Pergilah menuju
ke) gunung!” Lalu kita berlindung di balik gunung. Ternyata, Allah telah
mengalahkan mereka (musuh-musuh).”
6) Perkara
istimewa juga terjadi kepada al-‘Ala’ ibn al-Hadhrami. Beliau adalah gabenor
Rasulullah yang dihantar untuk memerintah Bahrain. Dalam doanya, antara lain
dia mengatakan: “Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui! Wahai Tuhan Yang Maha
Penyantun! Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi! Wahai Tuhan Yang Maha Agung!” Maka
Allah memperkenankan doanya.
Dia juga pernah
memohon kepada Allah agar diberikan air supaya dapat berwuduk ketika mereka
kehabisan air dan sebagai pengairan untuk orang-orang selepas mereka.
Ternyata doanya
dikabulkan Allah. Bahkan, dia juga pernah berdoa kepada Allah ketika mereka
perlu menyeberangi lautan, tetapi tidak dapat melaluinya bersama kuda mereka.
Berkat doanya, mereka akhirnya dapat menyeberangi lautan itu.
Bahkan, mereka
berjalan di atas air, dan tidak ada satu pelana pun yang dibasahi air. Dia juga
pernah berdoa supaya orang tidak melihat jasadnya jika dia mati dan ternyata
mereka tidak menemui jasadnya dalam liang lahad.
7) Hal yang
istimewa juga terjadi kepada Abu Muslim al Khaulani yang pernah dilemparkan ke
dalam api. Abu Muslim dicari oleh al-Aswad al-‘Unsiy yang pernah mengaku
menjadi nabi.
Al-Aswad berkata
kepadanya: “Apakah engkau menyaksikan bahawa aku adalah Rasulullah?” Abu Muslim
menjawab: “Aku tidak mendengar (hal itu)”.
Al-Aswad
bertanya lagi: “Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad utusan Allah?” Dia
menjawab: “Ya.”
Lalu al-Aswad
memerintahkan supaya dinyalakan api yang besar, kemudian Abu Muslim dilemparkan
ke dalamnya. Anehnya, mereka mendapati Abu Muslim bersolat dalam api yang marak
itu. Api itu menjadi dingin dan menyelamatkannya.
Dia juga pernah
datang ke Madinah setelah kewafatan Nabi Muhammad. Umar ibn al Khattab
mendudukkannya antara beliau dan Abu Bakar al Siddiq kepadanya. Saidina Umar
berkata: “Segala puji bagi Allah yang masih belum mematikan aku sehingga aku
sempat melihat di antara umat Muhammad orang yang Dia perlakukan seperti yang
pernah dilakukan-Nya terhadap Nabi Ibrahim Khalil Allah.”
8) Sa’id ibn al
Musayyib pada masa pertelingkahan di antara penduduk Madinah dan tentera Yazid
ibn Muawiyah tahun 63 Hijrah, mendengar azan dari makam Rasulullah pada
waktu-waktu solat, padahal masjid kosong dan tiada sesiapa selain dia di
dalamnya.
9) ‘Amru ibn
Uqbah ibn Farqad pernah melakukan solat ketika cuaca panas terik, lalu awan
menaunginya. Dia juga pernah dilindungi oleh singa ketika menggembala kuda
sahabat-sahabatnya.
10) Mutrif ibn
Abdullah ibn al-Syikhkhir apabila memasuki rumahnya, perkakas rumahnya
bertasbih bersamanya. Dia pernah berjalan bersama sahabatnya di dalam kegelapan
malam. Maka, mereka disuluh cahaya yang terpancar daripada hujung cemetinya.
Inilah antara
karamat para sahabat r.a yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam al-Fatawa
al-Kubra (الفتاوى الكبرى). (Jilid 11, ms. 281).
Kita menyebutnya
di sini kerana Ibnu Taymiyyah adalah antara tokoh yang sering diidolakan oleh
aliran yang menjadikan khususiyyat Nabi SAW ataupun keramat para auliya’ punca
sikap menuduh sesat sesama Islam.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 19/7/2011.
Comments
Post a Comment