DALAM pensyariatan solat al-Khauf (الصلاة الخوف) yang sabit melalui al-Quran dan sunnah disyariatkan supaya saling tolong menolong. Demikian juga dalam perintah Allah SWT ke atas orang-orang Mukmin supaya mengambil sikap berhati-hati dengan serangan musuh mereka.
Perintah meminta pertolongan kepada makhluk ini turut dinyatakan dalam galakan Rasulullah SAW agar orang Mukmin saling membantu memenuhi hajat dan keperluan saudaranya, memudahkan kesusahan orang lain dan membantu melepaskan suatu bebanan.
Bahkan, ia terdapat dalam peringatannya daripada melalaikan amalan tersebut. Hal-hal seperti ini banyak terdapat dalam sunnah. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya pula.
Telah meriwayatkan Muslim dan Abu Daud serta lain-lainnya daripada Rasulullah SAW bersabda: "Allah sentiasa membantu hamba selama hamba tersebut membantu saudaranya yang lain.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai makhluk yang Dia mencipta mereka untuk menunaikan keperluan-keperluan orang lain; ramai manusia yang datang kepadanya membawa hajat-hajat mereka. Mereka adalah orang-orang yang aman dari azab Allah.” Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW: “Orang ramai datang membawa hajat-hajat mereka”. Rasulullah SAW tidak menggolongkan orang ini dalam golongan mereka yang melakukan kesyirikan. Bahkan juga bukan daripada golongan yang melakukan dosa atau maksiat.
Al-Tabrani dan juga Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Rasulullah: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa kaum yang diberikan khusus kepada mereka nikmat-nikmat untuk manfaat hamba-hamba-Nya. Allah menetapkan mereka dalam nikmat tersebut selama mereka mencurahkan nikmat tersebut (kepada hamba-Nya). Maka apabila mereka tidak mahu mengeluarkan nikmat tersebut (untuk orang ramai), Allah mencabutnya daripada mereka, lalu mengalihkannya kepada orang lain.”
Al-Hafiz al-Munziri berkata: “Jika hadis tersebut dikatakan sanadnya adalah hasan, nescaya ia harus terjadi.”
Sabda Rasulullah: “Seseorang kamu yang berjalan bersama saudaranya kerana menunaikan hajatnya - sambil mengisyaratkan dengan jarinya - adalah lebih afdal daripada beriktikaf di dalam masjidku ini selama dua bulan.” (Riwayat al-Hakim dan beliau berkata: Hadis ini sahih sanadnya. Demikian juga seperti yang terdapat di dalam al-Targhib (3/372).
Jika benar-benar terlarang secara mutlak memohon bantuan kepada selain Allah, maka nescaya nas-nas di atas tidak akan menyifatkan sesetengah hamba pilihan sebagai mampu menunaikan hajat orang lain.
Hakikatnya, mereka yang memohon bantuan sebenarnya memohon kepada Allahmanakala yang membantu menunaikan hajat dalam erti kata sebenar adalah Allah.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 7/6/2011.
Comments
Post a Comment