Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
ADA dakwaan sesetengah orang bahawa meminta syafaat atau istighozah - استغاثة (memohon pertolongan) daripada nabi SAW hanya dibolehkan ketika baginda hidup maka kita menjawab: Sesungguhnya beristighozah dan bertawassul - توسل ; jika keharusannya dikaitkan dengan hidupnya pihak yang diminta pertolongan, maka ketahuilah, bahawa para nabi dan hamba-hamba Allah yang diredai itu tetap hidup di alam kubur mereka.
Jika tiada dalil lain untuk membenarkan keharusan bertawassul dan beristighozah dengan Rasulullah SAW setelah wafat, kecuali dengan menggunakan qias atau analogi terhadap tawassul dan istighozah dengan Baginda SAW ketika masih hidup, maka itupun sudah cukup, kerana kita meyakini bahawa Rasulullah SAW tetap hidup di alam barzakh.
Baginda SAW selalu memerhatikan umatnya. Dengan izin Allah SWT, nabi SAW menguruskan keadaan mereka dan mengetahui apa yang mereka lakukan. Selawat yang mereka ucapkan diperlihatkan kepada baginda SAW. Salam yang mereka berikan juga sampai kepada baginda SAW, meskipun mereka sangat ramai.
Orang yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang keadaan roh dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Terutamanya terhadap roh yang mempunyai kedudukan yang tinggi, iaitu roh para rasul dan nabi, hatinya akan terbuka untuk mempercayai dan mengimani perihal kehidupan para roh.
Lebih-lebih lagi, terhadap induk segala roh, dan cahaya yang menyinari segala cahaya, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Jika memohon syafaat, istighozah atau bertawassul dengan Rasulullah SAW itu dinilai sebagai syirik dan kufur sebagaimana yang disangkakan, adalah tidak wajar ia diharuskan pada satu keadaan sahaja, semasa hayat Baginda SAW tidak pada keadaan yang lain. Sebabnya, perbuatan syirik itu menjadi kemurkaan Allah dalam semua keadaan.
Dakwaan bahawa orang yang sudah mati tidak mampu melakukan apa-apa, adalah dakwaan yang batil. Jika dakwaan tersebut didasarkan kepada kepercayaan mereka bahawa mayat itu menjadi tanah, jelas itu merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Mereka jahil tentang hadis-hadis yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Bahkan, mereka juga jahil tentang firman Allah SWT yang menegaskan bahawa roh-roh itu tetap hidup dan kekal setelah terpisah daripada jasad. Mereka juga jahil tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang pernah menyeru mayat yang ada di dalam kubur ketika Perang Badar.
Rasulullah SAW juga pernah mengucapkan salam kepada ahli kubur, dan menyeru mereka dengan sabdanya: “Semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas kalian, wahai penghuni perkampungan (kubur) ini!”
Dalil yang lain adalah tentang azab dan nikmat kubur bagi penghuni kubur, nas-nas yang menceritakan tentang roh-roh yang selalu datang dan pergi kepada roh-roh yang lain. Banyak lagi dalil yang ditetapkan oleh Islam dan diakui oleh para ilmuwan, dulu dan kini.
Bagaimanapun, kami membataskan perbicaraan hanya mengikut soalan berikut: Apakah mereka percaya atau tidak bahawa orang yang mati syahid itu hidup di sisi Tuhannya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Quran?
Jika mereka tidak mempercayainya, kami tidak berminat berbincang dengan mereka, kerana mereka telah membohongi al-Quran yang mengatakan: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang yang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
وَلا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ (١٥٤)
Jika mereka mempercayainya, maka kami katakan pula kepada mereka: Sesungguhnya para nabi dan kebanyakan orang soleh lain; yang tidak mati syahid; seperti sesetengah para sahabat besar r.a, adalah lebih mulia daripada orang-orang yang mati syahid tanpa diragui lagi.
Jika jelas diakui bahawa para syuhada itu hidup di dalam kuburnya, maka menetapkan bahawa hidupnya orang yang lebih mulia daripada golongan syuhada adalah lebih patut dan lebih layak. Lebih-lebih lagi, hidupnya para nabi itu disebut secara jelas dalam hadis-hadis sahih.
Jika telah thabit kehidupan yang khusus dan istimewa selepas mati bagi golongan yang mulia ini, maka apakah lagi penghalang menurut pandangan akal yang menyekat daripada beristighozah dan meminta pertolongan kepada Allah melalui roh mereka ini?
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 24/5/2011.
Comments
Post a Comment