Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan. Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan. Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW.
Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad.
Baginda tidak pernah mengatakan: “Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu.”
Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a (أنس بن مالك) pernah berkata: “Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat.”
Maka Rasulullah bersabda: “Aku akan melakukannya.” (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).
Sawaad ibnu Qaarib (سواد بن قارب) juga pernah berkata di hadapan Nabi SAW: “Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!”
Hingga dia juga mengatakan: “Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib.” (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu ‘Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).
Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya. Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah (مازن بن غضوبة) setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: “Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari ‘Uman ke ‘Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan.” (riwayat Abu Nu’aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)
‘Ukkasyah ibnu Mihsan (عكاشة بن محصن) juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. ‘Ukkasyah berkata: "Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu.”
Rasulullah SAW terus bersabda: “Engkau termasuk di kalangan mereka.”
Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullah melalui Syafaat Kubra [شفاعة كبرى] (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 19/4/2011.
Comments
Post a Comment