Skip to main content

Strategi Elak Tentera Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

UMUM mengetahui lebih setahun selepas berlakunya pertempuran Perang Badar maka meletus pula Perang Uhud (غزوة أحد). Ia berlaku pada bulan Syawal (شوال) tahun ketiga Hijrah.

Kali ini ia melibatkan pihak yang masih sama, iaitu umat Islam atau pengikut Nabi Muhammad SAW dengan kaum kafir Quraisy Mekah.

Perang ini adalah satu usaha dan nekad pihak kafir Quraisy untuk membalas dendam atas kekalahan yang sangat memalukan mereka di Perang Badar (غزوة بدر) dahulu.

Namun mengapa mereka begitu ingin membalas dendam terhadap umat Islam jika hanya sekadar kalah di medan Badar?

Masing-masing sebenarnya cuba mengelak daripada meletusnya lagi sebuah peperangan. Antara faktor serta merta yang membawa kepada meletusnya Perang Uhud itu apabila berlakunya Sariyyah Zaid Harithah (سرية زيد بن حارثة), iaitu serangan terhadap rombongan dagang milik Quraisy pada bulan Jamadilakhir (جماد الأخير) tahun ketiga Hijrah, iaitu beberapa bulan sebelum meletusnya Perang Uhud itu.

Ini apabila semakin tiba musim panas yang lazimnya merupakan musim pengembaraan dagang saudagar-saudagar dari Mekah berdagang di Syam.

Apabila semakin tiba musim itu, kalangan kafir Quraisy semakin gelisah. Soalnya bagaimana dapat pergi dan pulang dan selamat dari Syam tanpa sebarang gangguan.

Ini disuarakan oleh Safwan bin Umayyah (صفوان بن أمية) yang dilantik pada tahun itu untuk mengepalai angkatan perdagangan mereka ke Syam ketika dia bersama para pembesar Quraish yang lain duduk berbincang mengenai masalah mereka itu.

“Sesungguhnya Muhammad dan para sahabatnya pernah beberapa kali menyerang angkatan dagang kita. Kini kita tidak tahu bagaimana hendak menghadapi serangan-serangan yang seperti ini setiap kali kita hendak keluar berdagang kerana pasti diserang.

“Di setiap ceruk perjalanan, pasti mereka menunggu dengan kebanyakan penduduk luar Madinah juga begitu taat setia terhadap Nabi Muhammad dan tidak akan lagi memberi perlindungan dan bantuan kepada kita.

“Oleh itu kita tidak tahu jalan mana lagi yang selamat untuk kita lalui. Kalau kita tidak ke mana-mana dan duduk di sini sahaja, kita hanya akan makan dari harta pokok kita. Kemudian tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk kita makan.

“Sedangkan hidup kita ini hanya bergantung kepada perdagangan ke Syam di musim panas dan ke Habsyah pada musim sejuk,” kata Safwan.

Begitulah kesan perit yang terpaksa ditanggung oleh para kafir Quraisy apabila jihad ekonomi yang dilancarkan oleh umat Islam berjaya memberikan tekanan yang teruk kepada mereka.

Lalu mereka pun berbincang bagi mencari jalan keluar terhadap sekatan yang seperti ini kerana tidak boleh tidak mereka mesti keluar berdagang ke Syam demi meneruskan kehidupan.

Akhirnya salah seorang dari mereka, Al Aswad bin Abdul Mutallib (الأسود بن عبد المطلب) memberi cadangan bagi menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.

“Kita mesti mengelak menggunakan jalan yang biasa mahupun menyusuri pantai kerana jalan yang perlu kita lalui kali ini adalah lebih jauh dari biasa, tetapi asalkan selamat.

“Kita perlu menuju sehingga ke Iraq, iaitu jalan yang sangat jauh dengan terpaksa melalui Najd (النجد) sebelum kita menggunakan jalan menuju ke Syam, yang penting kita tidak lagi melalui jalan menghampiri Madinah,” katanya.

Walaupun cadangan itu agak terlalu sukar dilaksanakan kerana ia memakan masa berbulan-bulan lamanya sebelum sampai ke Syam, namun semua mereka akhirnya setuju dengan cadangan Al Aswad itu.

Asal sahaja matlamat berdagang akhirnya tercapai tanpa sebarang gangguan dan serangan umat Islam.

Mereka kemudiannya melantik Farrat bin Hayyan (فرات بن حيان) dari Bani Bakar bin Wa’il (بني بكر بن وائل) sebagai penunjuk jalan dan Safwan sendiri akan mengetuai rombongan itu.

Lalu tanpa dapat ditangguh-tangguh lagi, bimbang rahsia arah perjalanan mereka akan bocor, mereka pun bersiap sedia dalam satu rombongan dagang yang besar untuk berdagang ke Syam.

Aktiviti dagang ini sebenarnya sebagaimana ada disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy iaitu kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka menjalankan perniagaan pada musim sejuk ke negeri Yaman dan pada musim panas ke Syam.

Oleh itu, hendaklah mereka menyembah tuhan yang menguasai rumah Kaabah ini, tuhan yang memberi mereka kehidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (Quraisy: 1-4)

لإيلافِ قُرَيْشٍ (١) إِيلافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (٢) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (٣) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (٤)

Mereka pun bergerak secara rahsia mengikut laluan yang yang baru ini sambil membawa harta dagangan yang sangat banyak. Antaranya termasuklah sejuta dirham wang perak dan lain-lain barang dagangan yang bernilai tinggi.

Tidak ada sesiapa khususnya daripada kalangan umat Islam yang mengetahui misi dagangan dari Mekah itu sehinggalah pada suatu hari. Tanpa disangka rahsia itu akhirnya bocor juga! Bagaimana ini boleh berlaku? Pada suatu hari, tidak disebutkan sama ada berlaku di Mekah atau Madinah, seorang pengikut Rasulullah bernama Sulait bin Nu’man (سليط بن نعمان) yang masih berkawan baik dengan seorang Musyrik Mekah bernama Nuaim bin Mas’ud (نعيم بن مسعود) sejak dari zaman jahiliah lagi telah bertemu.

Pada suatu hari mereka berkumpul sambil meminum arak yang ketika itu belum lagi disyariatkan sebagai haram diminum.

Nuaim minum sehingga mabuk dan apabila mabuk dan hilang kawalan diri, perkara yang sepatutnya dirahsiakan akhirnya terbongkar.

Akhirnya Nuaim sendiri yang menceritakan kepada Sulait akan rahsia rombongan dagang yang sedang menuju ke Iraq. Habis semua diceritakannya dan Sulait akan mengorek segala rahsia tersebut sehingga beliau berpuas hati.

Apabila Nuiam akhirnya rebah dan pengsan akibat mabuk yang teruk, Sulait pun segera menemui Rasulullah bagi memberitahu rahsia tersebut.

Walaupun maklumat yang diperolehi tidak memberikan sebarang ancaman kepada kedudukan umat Islam namun berita yang dibawa oleh Sulait itu benar-benar diambil perhatian oleh Rasulullah.

Lalu baginda melantik anak angkat baginda, Zaid Harithah (زيد بن حارثة) untuk mengetuai sariyyah, sepasukan tentera kecil, iaitu terdiri daripada 100 anggota untuk melancarkan serangan terhadap rombongan dagang dari Mekah itu.

Dengan pantas, Zaid pun segera bergerak untuk membuat sekatan mengejut terhadap rombongan tersebut. Ketika itu pula rombongan dagang dari Mekah itu telah sampai dan berhenti berehat di sebuah mata air (عيون) di Qardah (قرد) di Najd.

Di situ, Zaid dan seluruh anggota tentera yang lain mula menyerang rombongan dagang kafir Quraisy yang tidak berdaya ditentang oleh Safwan dan ahli-ahli rombongan yang lain.

Bagi tujuan keselamatan diri sendiri, kebanyakan ahli rombongan tersebut lari lintang pukang meninggalkan segala macam harta dagangan mereka yang tentu sahaja dirampas oleh tentera Islam.

Yang ditugaskan sebagai penunjuk jalan, Farrat bin Hayyan (فرات بن حيان) juga berjaya ditawan. Apabila banyak harta rampasan dapat dirampas, Rasulullah sendiri membenarkan agar ia di bahagi-bahagikan kepada seluruh anggota tentera yang terlibat setelah baginda mengambil satu perlima bahagian dari harta-harta tersebut.

Serangan yang dikenali sebagai Sariyyah Zaid bin Harithah (سرية زيد بن حارثة) ini benar-benar merupakan satu insiden buruk kepada puak kafir Quraisy selepas kekalahan di Perang Badar.

Kebimbangan mereka makin bertambah-tambah, masa depan mereka kini semakin sukar untuk diramalkan.

Ini menyebabkan ada dua pilihan sahaja yang boleh diambil, sama ada berdamai sahaja dengan umat Islam atau sebuah angkatan perang yang kali ini lebih kuat, lebih ramai, lebih bersedia fizikal dan mental, lebih segala-galanya perlu disediakan untuk menghapuskan umat Islam dalam sebuah lagi peperangan!

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 23/3/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para