Skip to main content

Atikah Wakaf Seluruh Hartanya

ATIKAH [عتيقة] termenung. Kehidupan mewah di istana, dan dikelilingi dayang-dayang, tidak mampu menenangkan perasaannya. Ada perkara yang menggusarkan hatinya. Pagi ini, fikirannya diasak dengan masalah keluarga Abu Sufyan [أبو سفيان], ahli keluarganya juga. Dia hidup dengan mewah di istana, sedangkan keluarga Abu Sufyan hidup miskin dan melarat.

Di manakah perasaan belas kasihannya?

Apakah tidak ada sifat pemurah dalam dirinya?

Bukankah dirinya seorang wanita dihormati dan berilmu tinggi? Apakah ilmu yang tinggi itu tidak mampu mendorongnya bagi membantu mereka?

Selama ini, bukannya Atikah tidak pernah bersedekah kepada ahli keluarganya yang miskin. Pernah. Boleh dikatakan kerap juga dia mendermakan hartanya kepada mereka. Tetapi, nilai sedekah itu kecil sekiranya dibandingkan dengan hartanya yang melimpah-ruah. Harta Atikah memang banyak. Dia mewarisi harta dari ayahnya, Yazid bin Muawiyah bin Abi Sufyan [يزيد بن معاوية بن أبي سفيان] yang mengambil alih tugas khalifah daripada ayahnya, Muawiyah bin Abi Sufyan, pengasas kerajaan Bani Umaiyah [بني أمية].

Hartanya bertambah apabila suaminya, Abdul Malik bin Marwan [عبد الملك بن مروان] dilantik memegang jawatan terpenting itu. Dia begitu dimanjakan oleh suaminya, dan sering menerima hadiah wang dan perhiasan yang mahal-mahal.

“Apa yang kau menungkan itu?” Atikah terkejut apabila mendengar suara suaminya. Abdul Malik telah masuk ke kamar tanpa dia sedar. Lamunannya terhenti.

“Tidak ada apa-apa,” Atikah menggeleng sambil tersenyum tawar.

“Mustahil tidak ada apa-apa yang kau fikirkan. Begitu jauh sekali kau mengelamun tadi”. Khalifah Abdul Malik terus berusaha mengetahui isi hati isteri.

“Saya hanya memikirkan tentang kehidupan kita yang sementara di dunia ini,” balas Atikah.

Khalifah Abdul Malik terdiam mendengar kata-kata Atikah. Kemudian dia menghampiri Atikah.

“Atikah...”

Atikah memandang suaminya. Dia tahu, sekiranya suaminya bercakap lambat-lambat seperti itu, pasti ada perkara besar yang ingin disampaikan.

“Kedua-dua anakmu, Yazid [يزيد] dan Marwan [مروان] kini sudah dewasa. Pada fikiranku, sekiranya hartamu itu diberikan kepada mereka, sudah pasti mereka akan mempunyai harta yang banyak, jauh melebihi harta saudara-saudara mereka yang berlainan ibu,” khalifah Abdul Malik meneruskan kata-kata yang ingin disampaikan.

“Oh, perkara itu yang ingin kau sampaikan kepadaku,” kata Atikah, lalu ketawa kecil.

“Baiklah. Kalau begitu, tolong kumpulkan saksi-saksi yang dipercayai yang kita kenali”.

Khalifah Abdul Malik tersenyum lalu mengangguk. “Sekarang juga akan aku hantar saksi-saksi seperti yang kau inginkan itu”.

Khalifah Abdul Malik keluar dari kamar, lalu mengumpulkan beberapa orang saksi dan menyuruh mereka menemui Atikah. Kemudian, Abdul Malik memanggil Ruh bin Zinba [روح بن زنباع], pakar yang dilantik menjadi penasihat kepada kaum wanita di kalangan keluarga khalifah.

“Wahai Ruh, aku menginginkan supaya Atikah memberi hartanya kepada kedua-dua anaknya yang sudah dewasa. Jadi, kau pergilah bertemu Atikah dan doronglah dia supaya melakukan perkara itu.

Tegas dan keras

“Katakan kepadanya bahawa perbuatan itu baik dan aku reda dengan apa yang dilakukannya”.

“Baiklah tuan, saya akan lakukan seperti yang tuan pinta,” jawab Ruh.

Ruh segera menemui Atikah lalu menyampaikan segala pesanan khalifah kepadanya. Atikah mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Ruh dengan penuh perhatian.

Sesudah Ruh selesai menyampaikan kata-katanya, Atikah bertanya kepadanya, “Wahai Ruh, apakah engkau fikir aku khuatir kedua-dua anakku itu akan jatuh miskin, padahal mereka itu anak khalifah? Dengan harta ayah mereka, mereka tidak memerlukan harta yang ada padaku ini”.

Atikah diam sebentar, kemudian menyambung, “Bukankah mereka juga bakal menduduki takhta khalifah suatu hari nanti? Oleh itu, bersaksilah kamu semua, aku sedekahkan semua hartaku bagi fakir miskin Bani Sufyan. Aku wakafkan semua hartaku bagi mereka. Mereka lebih memerlukan harta itu demi mengubah hidup mereka, berbanding kedua anakku itu”.

Ruh terdiam mendengar ucapan Atikah itu. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Kata-kata Atikah itu menyumbat telinganya ibarat seketul batu besar menghempap kepalanya.

Suara Atikah tegas dan keras. Tidak mungkin Atikah akan menarik kembali kata-katanya itu. Walaupun hatinya lembut, namun dia memang terkenal dengan sikapnya yang tegas.

Ruh pun meminta izin keluar. Dengan perasaan berbelah bahagi, Ruh menemui khalifah Abdul Malik yang sudah menantinya.

“Wahai Ruh! Apa yang telah terjadi? Aku melihat wajahmu kusut seperti ada sesuatu yang tidak diingini telah terjadi,” kata Abdul Malik.

“Tuan menyuruh saya mengadap Abu Sufyan. Beliau ada di istana ini, lengkap dengan pakaian dan seluruh kebesarannya,” jawab Ruh.

Wajah Abdul Malik berubah mendengar kata-kata Ruh. Dia faham bahawa Ruh menyamakan Atikah seperti moyangnya Abu Sufyan yang terkenal dengan sikapnya yang tegas dan garang.

“Ceritakan kepadaku apa yang terjadi!” pinta Abdul Malik. Ruh pun menceritakan semua perkara yang terjadi antaranya dan Atikah.

Abdul Malik menjadi marah mendengar cerita Ruh. Dia mengancam hendak melakukan sesuatu kepada Atikah kerana tidak menurut kehendaknya.

“Bersabarlah Amirul Mukminin. Sikap Atikah pada anak-anaknya itu jauh lebih baik daripada nilai harta yang ada padanya itu,” kata Ruh.

Apabila mendengar kata-kata Ruh itu, Abdul Malik pun reda dan tidak marah lagi kepada Atikah. Sesudah itu, Atikah pun mewakafkan seluruh hartanya kepada fakir miskin Bani Sufyan. Dia sememangnya wanita yang tinggi ilmunya, bersih hatinya, pemurah dan penyayang pada fakir miskin.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 4/2/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para