Skip to main content

12 Rabiulawal Juga Tarikh Nabi Wafat

SOALAN:

Ada pandangan bahawa kita tidak boleh terlalu asyik menyambut 12 Rabiulawal sebagai hari keputeraan baginda SAW kerana pada tarikh tersebut juga baginda wafat. Benarkah pandangan ini?

JAWAPAN:

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga Kami juga diberi (wahyu) sama seperti Yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah Yang sepatutnya) ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) Yang diberikan-Nya itu. orang-orang Yang melakukan perbuatan Yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa Yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya Yang mereka lakukan. (al-An’am: 124)

وَإِذَا جَاءَتْهُمْ آيَةٌ قَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ حَتَّى نُؤْتَى مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ (١٢٤)

Hercules (Raja Rom) ketika bertanya kepada Abu Sufyan (أبو سفيان) mengenai sifat-sifat Rasulullah SAW dengan berkata: “Bagaimana keturunannya di hadapan kamu?” Jawab Abu Sufyan: “Dia adalah berketurunan baik (mulia) di kalangan kami”, lalu Hercules menjawab: “Begitulah kesemua para rasul yang diutus daripada keturunan yang mulia daripada kalangan kaumnya”. Iaitu Nabi diutus daripada kalangan keluarga yang termulia dan berketurunan yang ramai.

Baginda adalah penghulu anak Adam di dunia dan akhirat. Juga digelar Abu al-Qasim [أبو القاسم], Abu Ibrahim [أبو إبراهيم], Muhammad [محمد], Ahmad [أحمد] pemadam kekufuran dan kesyirikan. Tiada nabi selepas baginda, penghimpun yang tersimpan manusia menjemput kedua kalinya. Nabi yang rahmat, nabi yang taubat, penutup seluruh kenabian, dia al-Fatih (pembuka) [الفاتح], Taha [طه], Yasin [يس] dan Abdullah [عبد الله].

Baginda adalah lembut lagi mengasihani mengingatkan mengangkat baginda sebagai pembawa rahmat, pembawa nikmat kebahagiaan hidup dan petunjuk.

Baginda SAW dilahirkan dengan sejahtera pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abi Qatadah sesungguhnya seorang lelaki Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandangan tuan puasa pada hari Isnin? Lalu baginda menjawab: “yang demikian (Isnin) adalah hari aku dilahirkan padanya dan hari turun wahyu kepadaku”.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (أبي شيبة) di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir (جابر) dan Ibnu Abbas (ابن عباس), sesungguhnya baginda SAW telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mikraj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35)

Sementara itu, Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (الشيخ صفي الرحمن المباركفوري) di dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum (الرحيق المختوم) menjelaskan bahawa, tarikh kelahiran Nabi SAW iaitu 12 Rabiulawal adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.

Tarikh ini berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Muhammad Sulaiman al-Mansur Fauri (محمد سليمان المنصور الفوري) yang merupakan tokoh sejarah. Tarikh ini diperakui oleh Mahmud Basha (محمد باشا) seorang tokoh dan sarjana dalam bidang falak. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Dar al-Fikr, Beirut, cet:1, 1991, hlm: 45).

Jumhur ulama bersetuju tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah 12 Rabiulawal 571 Masihi, tahun gajah. Dikenali dengan tahun gajah kerana pada tahun inilah Abrahah menyerang kota Mekah dengan tentera bergajah.

Sementara, tarikh kewafatan baginda seperti yang disebut oleh riwayat yang terdahulu iaitu pada 12 Rabiulawal, pada tahun 11 hijrah, ketika baginda berusia 63 tahun. (Lihat; Abu Hasan ‘Ali al-Husaini al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539).

Kebiasaannya serta fitrah manusia tidak ingin meraikan tahun kewafatan orang yang dikasihinya. Lebih-lebih lagi junjungan besar Nabi SAW yang telah banyak menabur bakti kepada umatnya.

Kewafatan baginda cukup menyedihkan bagi orang yang pernah mengenali baginda. Para sahabat r.a tidak sanggup dan tidak mampu berpisah dengan kekasih mereka Rasulullah SAW.

Baginda telah melayan mereka seperti seorang ayah, dengan penuh kasih sayang baginda menatang para sahabat. Mereka didakap dengan tulus ikhlas dan persaudaraan.

Mereka (para sahabat) dan juga kita tidak akan bertemu dengan insan yang begitu agung budi pekertinya, tidak pernah mengecewakan setiap yang meminta.

Baginda tidak pernah mengherdik yang lemah mahupun yang fakir, baginda tidak pernah tidak pernah menyakiti setiap yang mendampinginya.

Menerusi kitab al-Dalail al-Nubuwwah (دلائل النبوة), dalam bab membicarakan kelahiran baginda, beberapa riwayat perlu dikongsikan di sini.

Antaranya: daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Tidaklah Allah azza wa jalla menjadi sesuatu apa pun dan tidak pula meninggalkan sesuatu nyawapun yang lebih mulia daripada Nabi SAW, dan aku (Ibnu Abbas) tidak pernah mendengar bahawa Allah SWT bersumpah dengan kehidupan seseorang melainkan dengan Nabi SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli Dalam kemabukan maksiat mereka. (al-Hijr: 72)

لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ (٧٢)

Umumnya Allah SWT tidak akan bersumpah dengan sesuatu apa pun melainkan ia sungguh hebat dalam sudut ciptaan dan kedudukan. Dalam ayat ini Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi SAW.

Pengiktirafan

Inilah satu pengiktirafan dan pemasyhuran kedudukan baginda di sisi Allah SWT.

Dalam riwayat lain daripada Umm Kurz (أم كرز) sesungguhnya telah berkata, dia (Umm Kurz) mendengar daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku adalah penghulu bagi kaum mukminin apabila mereka dibangkitkan di mahsyar kelak, akulah yang akan memimpin mereka apabila dibangkitkan, dan akulah yang akan memberi berita gembira apa berkesedihan, akulah imam mereka apabila mereka sujud, dan akulah orang yang paling hampir kepada Allah apabila berhimpun di hadapan Allah, aku akan berbicara di hadapan Allah lantas akan diiakan kata-kataku dan aku memberi syafaat lalu diterima syafaatku dan aku meminta lalu ditunaikan permintaanku”. (Abi Naim al-Asfahani, Dalail al-Nubuwaah, Dar al-Nafais, 1999, cet:4, jld:1, hlm: 67)

Dalam suasana sambutan Maulid Rasul SAW minggu depan, ia harus dimanfaat dengan sebaik mungkin agar kelahiran baginda yang penuh makna dapat dihayati bersama.

Cinta kepada nabi SAW bermaksud cinta kepada Allah SWT. Kelahiran baginda telah mengubah dunia yang sarat dengan amalan jahiliah kepada nur (cahaya) yang memandu mereka menjadi manusia yang berakhlak.

Nabi SAW telah mengenalkan kita kepada Allah SWT, meninggalkan kepada kita mukjizat agung iaitu al-Quran, dan mengajar kita erti ibadah supaya sampai ke makam penghambaan yang hakiki menghampiri Rabbul Izzati.

Semoga Allah menghimpun kita bersama kekasih agung kita Muhammad SAW.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 11/2/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para