Skip to main content

Allah Gembirakan Tentera Uhud


Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.

Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.

Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.

Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah - kekalahan umat Islam.

Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.

Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.

Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan kalah buat selama-lamanya.

Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat ‘dipujuk’ dengan turunnya ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.

Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah seperti berikut:

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الأعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (١٣٩)

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Ali-‘Imran: 139)

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (١٤٠)

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Ali-‘Imran: 140)

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (١٤٧)

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (Ali-‘Imran: 147)

Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.

Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.

Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada diambil kesempatan oleh pihak musuh.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 6/7/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para