Skip to main content

Memohon Kepada Selain Allah SWT

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BULAB Rejab adalah salah satu bulan suci dalam Islam. Antara yang istimewa mengenai bulan ini ialah kerana berlakunya peristiwa besar Israk dan Mikraj dalam.

Pada bulan Rejan kita digalak meningkatkan amalan sebagai persiapan kedatangan Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Allah SWT kerana memperuntukkan keistimewaan hari-hari dan bulan-bulan tertentu yang mampu mengejutkan kita yang leka dengan rutin harian.

Menyambung bicara tentang syafaat, sepotong hadis yang berkaitan dengannya adalah: “Apabila kamu meminta pintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta tolong pohonlah kepada Allah”. (sebahagian hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan disahihkannya daripada Ibnu Abbas r.a secara marfu’)

Masalahnya, ramai umat manusia yang salah faham tentang hadis ini. Mereka memahami hadis ini dengan maksud, tidak boleh meminta dan juga memohon pertolongan secara mutlak walau dengan apa cara dan jalan sekalipun melainkan hanya kepada Allah.

Justeru, mereka menganggap memohon dan meminta pertolongan kepada selain Allah adalah perbuatan syirik yang boleh mengeluarkan seseorang itu daripada agama.

Fahaman dan anggapan sedemikian, akan menafikan pengambilan atau penggunaan sebab-musabab dan meminta pertolongan dengan sebab-sebab tersebut serta bercanggah dengan nas-nas yang banyak mengenai perkara ini.

Hakikatnya, hadis yang mulia ini tidak bermaksud menegah atau melarang daripada memohon atau meminta tolong kepada selain Allah, sebagaimana yang difahami dari zahir lafaz hadis ini.

Tetapi maksud hadis ini adalah melarang daripada lalai atau lupa bahawa walau bagaimanapun kebaikan yang dilihat dimiliki oleh sebab-sebab itu, ia tetap daripada Allah.

Bahkan, hadis ini juga mengandungi suruhan supaya beringat, bahawa apa pun juga nikmat (kebaikan) yang dimiliki atau dikuasai oleh makhluk, ia adalah daripada Allah dan diperolehi dengan pertolongan Allah.

Maknanya di sini, apabila hendak meminta pertolongan kepada seseorang makhluk dan ia sudah pasti dilakukan dalam kehidupan seharian, maka hendaklah menjadikan segala pergantungan dan pegangan kamu hanya kepada Allah.

Jangan sekali-kali sebab-sebab itu menghalang kamu daripada melihat kepada musabbibnya (Allah). Jangan pula kamu termasuk di kalangan orang-orang yang mengetahui apa yang zahir (nampak pada mata kasar sahaja) iaitu hubungan dan pergantungan di antara suatu perkara dengan suatu perkara tetapi kamu lupa terhadap yang menghubungkan di antara perkara-perkara tersebut (Allah).

Inilah makna yang ditunjuki oleh hadis ini. Yang demikian itu, sebagaimana yang disebut di dalam sabda Rasulullah SAW selepas sabda di atas: “Ketahuilah, bahawa sekiranya kesemua umat ini bersatu untuk memberikan kamu suatu manfaat, nescaya mereka tidak dapat memberikan kamu suatu manfaat pun melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu. Sekiranya mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak dapat memudaratkan kamu melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu”.

Maka di sini, Rasulullah SAW mensabitkan manfaat dan mudarat bagi mereka sebagaimana yang kita lihat sesuai dengan apa yang telah dicatat oleh Allah bagi seseorang hamba itu sama ada manfaat atau mudarat. Maka daripada sabda Nabi SAW ini menjelaskan maksudnya.

Bagaimanakah kita boleh mengingkari atau menafikan perbuatan meminta pertolongan dengan selain Allah, sedangkan terdapat suruhan melakukan perbuatan tersebut di dalam pelbagai tempat dari al-Quran dan juga sunnah.

Allah SWT berfirman: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. (al-Baqarah: 45)

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥)

Allah SWT juga berfirman: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan. (al-Anfal: 60)

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لا تُظْلَمُونَ (٦٠)

Al-Quran juga telah menceritakan tentang seorang hamba yang soleh, Zul Qarnain sebagaimana firman-Nya: Oleh itu, bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai). (al-Kahfi: 95)

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (٩٥)

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 7/6/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para