Skip to main content

Rasulullah Ikut Saranan Sahabat

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEJURUS mendapat tahu bahawa 3,000 tentera kafir Quraisy Mekah sedang bergerak menuju ke utara untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW segera mengadakan perbincangan dengan para sahabat dan pengikut baginda bagi mengatur strategi perang kali ini.

Persoalan penting ialah sama ada tentera Islam perlu keluar dari Kota Madinah untuk bertempur dengan pihak musuh atau terus bertahan sahaja dalam kota tanpa perlu ke mana-mana.

Rasulullah sendiri berpendapat supaya mereka tidak perlu keluar ke mana-mana. Malah seluruh penduduk Madinah boleh turut sama mempertahankan Madinah dari dikuasai pihak musuh.

“Jika mereka masuk sahaja ke dalam kota, maka seluruh penduduk akan memerangi mereka di segenap lorong-lorong yang sempit dengan kedudukan kaum wanita akan menentang daripada atas bumbung-bumbung rumah mereka,” kata baginda.

Ini merupakan pendapat baginda secara peribadi bukannya yang diwahyukan kepadanya, yang tidak semestinya diterima oleh para pengikut baginda.

Namun cadangan baginda itu diterima atau dipersetujui oleh ketua orang munafik Madinah, iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul (عبد الله بن أبي بن سلول) yang turut hadir dalam mesyuarat itu.

Dia bersetuju dengan cadangan itu semata-mata supaya muslihatnya terlaksana iaitu supaya saat tentera kafir Quraisy masuk ke dalam kota, saat itu jugalah Abdullah akan mempamerkan ‘dirinya’ yang sebenar.

Tidak sahaja dia akan belot malah akan membantu tentera musuh mengalahkan pihak Islam.

Muslihat jahat seperti itu dicium oleh para sahabat dan meminta kepada Rasulullah supaya perang kali ini juga dilakukan di luar kota Madinah seperti Perang Badar.

Sekumpulan para sahabat yang tidak menyertai Perang Badar mengusulkan supaya tentera Islam keluar dari Madinah dan baginda didesak supaya berbuat demikian.

“Wahai Rasulullah, kami selalu memohon kepada Allah SWT dan mengharapkan agar datangnya hari peperangan seperti ini.

“Sekarang Allah telah mendatangkan perang ini kepada kita semua. Maka sewajarnya kita keluar menuju kepada musuh kita sehingga mereka tidak melihat kita sebagai golongan yang penakut,” kata mereka.

Antara yang sangat bersemangat untuk berperang di luar kota Madinah itu adalah bapa saudara baginda sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib (حمزة بن عبد المطلب), yang sebelum ini begitu banyak sumbangannya melalui pedangnya yang mengamuk semasa Perang Badar.

“Demi Yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu wahai Muhammad, aku tidak akan menjamah makanan melainkan setelah aku melibas kepala pihak musuh dengan pedangku ini di luar Madinah,” kata Hamzah.

Apabila melihat ramai yang bersetuju supaya tentera Islam melawan pihak musuh di luar Kota Madinah, akhirnya Rasulullah mengalah. Baginda memutuskan untuk mereka bergerak dan akhirnya akan bertempur dengan pihak musuh di mana sahaja, asalkan tidak di dalam Kota Madinah.

Setelah itu baginda pun bangun mengimamkan solat Jumaat. Dalam khutbah Jumaat itu baginda menyeru kepada umat Islam supaya bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi peperangan dengan pihak kafir Quraisy Mekah.

Kata baginda, kemenangan pasti akan berpihak kepada pihak Islam jika mereka bersabar walaupun sekali lagi jumlah tentera Quraisy adalah jauh lebih ramai berbanding tentera Islam.

Namun ternyata dengan jumlah yang sedikit, pihak Islam mampu menang sebagaimana yang berlaku semasa Perang Badar.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 13/4/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para