Skip to main content

Keistimewaan Nabi Muhammad SAW

Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Mulai minggu ini, kita kan memulakan tajuk baru yang turut menjadi punca kekeliruan dan salah faham di kalangan segelintir umat Islam iaitu mengenai keistimewaan atau khususiyyat Nabi Muhammad SAW.

Golongan yang keliru akan menuduh mereka yang berpegang dengan perkara-perkara ini sebagai melampau dan sesat dalam membesarkan kedudukan Nabi SAW.

Sebenarnya, para ulama memberi perhatian yang besar terhadap khususiyyat atau keistimewaan Nabi Muhammad SAW. Ada antara mereka yang menulis mengenainya, ada yang mensyarahkan penulisan ulama lain, ada yang membahasnya secara umum dan ada pula yang membahasnya secara khusus.

Antara karya mengenainya yang paling masyhur dan lengkap ialah kitab al-Khasais al-Kubra (الخصائص الكبرى) karangan al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.h (جلال الدين السيوطي).

Ada banyak keistimewaan Nabi Muhammad SAW. Ada yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dan ada yang diriwayatkan melalui sanad yang tidak sahih.

Ada yang diperselisihkan oleh ulama kerana terdapat sebahagian ulama yang berpendapat ia adalah sahih. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat sebaliknya. Maka ia termasuk dalam permasalahan khilafiyyah (yang diperselisihkan oleh ulama).

Perbicaraan mengenai keistimewaan Nabi Muhammad telah lama berlegar. Ada yang membenarkannya, ada yang menafikannya. Ada pula yang mensahihkannya dan ada yang menolak.

Tetapi, selama ini, tidak ada antara mereka yang mengaitkan permasalahan ini dengan kekufuran dan keimanan.

Ulama juga berbeza pendapat mengenai hadis yang berkaitan dengan keistimewaan Nabi Muhammad. Sebahagian daripada mereka menolak penilaian.

Sebahagian yang lain dalam hal mentashihkannya, mentadh'ifkannya atau menolaknya kerana perbezaan penelitian mereka dalam menilai sanad-sanad dan rijal hadis tersebut.

Maka ada yang mensahihkan hadis-hadis daif mengenai perkara ini, ada yang mendaifkan hadis-hadis sahih. Ada yang mensabitkan hadis yang tertolak dan ada yang menolak hadis yang thabit dengan menggunakan hujah, takwil atau pun yang menyerupai dalil.

Maka telah berlaku apa yang biasa dilakukan oleh ulama dalam membahaskan dan mengkaji hadis. Hal yang demikian, merupakan hak manusia yang berakal dan mempunyai kefahaman. Medan untuk itu terbuka luas dan kebenaran ilmu itu sentiasa tersebar di kalangan manusia.

Tradisi perbezaan pendapat secara sihat ini telah digalakkan sendiri oleh imam seluruh ahli profesional dan penghulu segala ulama, iaitu Nabi teragung dan rasul yang termulia, Muhammad.

Baginda menegaskan bahawa bagi mujtahid yang betul dalam ijtihadnya, disediakan dua pahala dan bagi mujtahid yang salah dalam ijtihadnya, diberikan satu pahala.

Ulama sentiasa menampilkan sikap bertolak-ansur dalam menaqal dan meneliti hadis-hadis berkaitan keistimewaan Nabi Muhammad.

Pada pandangan mereka, perkara tersebut termasuk dalam fadha’il al amal (kelebihan amalan) dan tidak berkaitan langsung dengan hukum halal atau haram.

Atas dasar inilah, ulama membina kaedah yang mengharuskan beramal dengan hadis-hadis daif yang berkaitan dengan fadha’il amal, selagi hadis-hadis tersebut bukan maudhu’ - الموضوع (palsu atau rekaan) atau batil, dengan syarat-syarat yang muktabar (diiktiraf) dalam bab ini.

Mereka tidak mensyaratkan hadis-hadisnya mesti sahih, sebagaimana yang diistilahkan di dalam ilmu hadis. Jika kita mengikut syarat yang agak ganjil ini (menyalahi kaedah), nescaya kita tidak mungkin dapat menyebut sirah Nabi Muhammad sama ada sebelum baginda diangkat menjadi nabi, atau pun sesudahnya.

Hadis Daif

Sedangkan, kita mendapati dalam kitab-kitab karangan para hafiz hadis yang menjadi sandaran dan perbuatan mereka tersebut menjadi rujukan utama kita juga mengetahui daripada mereka hadis-hadis daif yang boleh disebut dan yang tidak boleh disebut ternyata sarat dengan hadis-hadis maqtu’ (terputus sanad - المقطوع) dan mursal (hadis yang disandarkan kepada Tabi’in).

Bahkan, terdapat hadis-hadis mengenai keistimewaan Rasulullah yang diambil daripada tukang-tukang tilik dan yang seumpamanya kerana dalam hal-hal seperti ini sememangnya dibolehkan mengutip atau bersandar kepada hadis-hadis daif.

Jika kita merujuk kitab-kitab salaf, sudah pasti kita akan mendapati ramai ulama dan imam fikah menyebut di dalam kitab mereka perkara-perkara yang berkaitan dengan keistimewaan Nabi Muhammad. Mereka juga menaqalkan daripada keistimewaan ini perkara-perkara ajaib dan aneh (unik).

Seandainya dalam hal ini, peneliti hadis hanya menerima hadis yang mempunyai sanad yang sahih, maka sudah pasti mereka hanya mendapati beberapa hadis sahaja daripada sekian banyak hadis yang mereka naqal daripadanya.

Semuanya ini berdasarkan kepada kaedah dan asas ulama yang telah ma’ruf menjadi ketetapan mereka di dalam bab ini.

Sheikh Ibnu Taimiyyah merupakan seorang yang terkenal dengan ketegasannya. Beliau telah menaqalkan dalam beberapa buah kitabnya beberapa pendapat mengenai tajuk ini; yang tidak sahih sanadnya.

Bahkan, beliau menggunakan hadis-hadis seperti ini sebagai dalil dalam beberapa permasalahan dan menganggapnya sebagai sandaran yang kuat dan muktabar dalam menjelaskan atau mendukung pentafsiran hadisnya.

Sebagai contoh, di dalam al-Fatawa al-Kubra (الفتاوى الكبرى), beliau menyebut: “Telah diriwayatkan, sesungguhnya Allah telah menulis namanya iaitu Nabi Muhammad SAW di atas ‘arasy, di pintu-pintu, kubah-kubah dan daun-daun yang terdapat di dalam syurga.”

Beliau juga meriwayatkan beberapa athar (perkataan para sahabat) yang secocok dengan hadis-hadis yang sabit (kuat) yang menjelaskan penghormatan terhadap nama Nabi dan ketinggian sebutannya, ketika beliau berkata: “Telah disebut matan (teks) hadis yang terdapat di dalam Musnad, daripada Maisarah al-Fajar ketika baginda ditanya: “Sejak bilakah kamu menjadi nabi, (wahai Muhammad!)?”

Baginda menjawab: “(Aku telah menjadi nabi) ketika Nabi Adam berada di (dalam proses kejadian) antara ruh dan jasad.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al Husin Ibnu Basyran melalui jalan Sheikh Abu al Farj Ibnu al Jauzi di dalam kitab al-Wafa’ bi Fadhail al Mustafa (الوفاء بفضائل المصطفى).

Dalam versi yang lain, diriwayatkan daripada Maisarah r.a, dia berkata: “Aku bertanya “Wahai Rasulullah! Sejak bilakah tuan menjadi nabi?” Baginda menjawab: “Setelah Allah menjadikan bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu diciptakan tujuh langit dengan sempurna. Setelah itu, Allah menjadikan arasy, dan menulis pada tiang arasy “Muhammad Utusan Allah, Penutup Para Nabi”.

“Dia juga mencipta syurga yang didiami oleh Adam dan Hawa, lalu Dia menulis namaku pada pintu-pintu, daun-daun, kubah-kubah dan khemah-khemah syurga sedangkan ketika itu Adam masih berada (dalam proses kejadiannya) antara roh dan jasad. Setelah Adam dihidupkan oleh Allah SWT, dia memandang kepada arasy, maka dia melihat namaku. Lalu Allah memberitahu kepada Adam, “Sesungguhnya dia (Muhammad SAW) adalah penghulu keturunanmu.”

Ketika mereka (Adam dan Hawa) berjaya diperdayakan oleh syaitan, mereka bertaubat dan memohon syafaat dengan (perantaraan dan keberkatan) namaku kepada-Nya.” (Ibnu Taymiyyah, Fatawa, juzuk 2. Ms 151).

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 12/7/2011.


Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para