Skip to main content

Syafaat Di Sisi Para Sahabat

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DALAM menimbang sesuatu persoalan agama seperti syafaat, seharusnyalah kita turut merujuk kepada sikap dan amalan para Sahabat Nabi RA. Merekalah generasi muslim terbaik yang pernah terhasil dan amalan mereka menjadi salah satu sumber agama ini. Jika ini kita lakukan, kita akan mendapati banyak peristiwa dimana para Sahabat RA memohon bantuan dan pertolongan Nabi SAW tanpa merasakan bahawa itu adalah salah.

Daripada Mukhallad ibn ‘Uqbah ibn Abdur Rahman ibn Syarhabil, daripada datuknya, Abdur Rahman, daripada ayahnya, berkata: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika telapak tanganku terkena bisul. Aku berkata, “Wahai Nabi Allah! Bisul ini semakin membengkak dan menggangguku semasa aku hendak memegang pedang dan mengendalikan haiwan tunggangan.” Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!” Aku pun menghampiri Baginda SAW, kemudian Baginda SAW bersabda, “Bukalah telapak tanganmu itu.” Maka aku pun membukanya, kemudian Baginda SAW bersabda, “Genggamlah telapak tanganmu.” Maka akupun menggenggamnya. Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!" Aku pun menghampiri Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW membukakan telapak tanganku, lalu meniupnya. Kemudian Baginda SAW meletakkan telapak tangannya pada bisul itu. Baginda SAW mengusap-usapnya dengan telapak tangannya sehinggalah Baginda SAW mengangkat tangannya, dan aku langsung tidak lagi melihat kesan bisul itu di tanganku.” (diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Al Hafiz al Haithami menyebutnya di dalam Majma’ al Zawa’id (Jld 8 H: 298).

Ketika Peperangan Badar sedang meletus, ‘Ikrimah ibn Abu Jahal telah menetak bahu Mu’az ibn ‘Amru ibn al Jamuh. Mu’az RA berkata: “Dia telah menetak tanganku hingga tanganku terkulai pada kulit lambungku. Aku berasa begitu letih, berperang dalam keadaan sedemikian. Padahal, aku telah seharian berperang dalam keadaan aku meletakkan tanganku di belakangku. Apabila aku merasa sakit, aku meletakkannya ke kakiku, kemudian aku mencabutnya sehingga aku melemparkannya.” Di dalam kitab al-Mawahib disebutkan:

Mu’az ibn ‘Amru membawa tangannya yang ditetak oleh ‘Ikrimah ibn Abu Jahal itu ke hadapan Rasulullah SAW, sebagaimana yang disebutkan oleh al Qadhi ‘Iyadh daripada Ibnu Wahhab. Lalu Rasulullah SAW meludah ke atas tangan itu. Tiba-tiba tangan yang terputus itu bersambung kembali. (Kisah di atas disebut juga oleh al Zurqani yang menyandarkannya kepada Ibnu Ishaq. Di antara yang terdapat pada sanadnya ialah Imam al Hakim.)

Sesungguhnya terlalu banyak nas-nas yang sohih menuturkan bahawa apabila sahaja mereka ditimpa musim kemarau dan tidak dituruni hujan beberapa lama, maka para Sahabat RA akan menemui Rasulullah SAW untuk memohon syafaat, bertawassul, dan meminta bantuan dengan perantaraan Baginda SAw kepada Allah SWT. Maka mereka akan menceritakan keadaan mereka dan mengadu kepada Baginda SAW bala bencana yang menimpa mereka.

Sebagai contoh, seorang Arab Badwi pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat. Dia berkata, Wahai Rasulullah! Harta benda kita telah musnah dan jalan-jalan kehidupan pula telah terputus. Pohonlah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kita!” Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah. Lalu hujan pun turun hingga Jumaat berikutnya. (Setelah hujan turun tanpa henti) Orang Arab Badwi itu datang lagi dan berkata, “Wahai Rasulullah! Rumah-rumah kita telah musnah, jalan-jalan telah terputus, dan haiwan banyak yang telah mati kerana hujan yang terlalu lebat menyebabkan banjir. Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah SWT. Lalu, awan pun berkurangan; dan hujan hanya turun di sekeliling Madinah sahaja. (Riwayat Bukhari dalam bab al-Istisqa’)

Hassan ibn Thabit RA pernah menyeru Rasulullah SAW dan menyifatkan Baginda SAW sebagai tiang untuk bersandar dan tempat berlindung yang diharapkan perlindungannya. Beliau berkata:

“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar, tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya, tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas! Mikail dan Jibril selalu menyertaimu. Kedua-duanya bersedia untuk menolongmu, sebagai bantuan daripada Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Perkasa.” (Al-Isti’ab: 1/264).

Kesimpulannya, para Sahabat RA sering memohon Syafaat Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa ia adalah suatu perkara yang baik dan dibenarkan.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 17/5/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para