Skip to main content

Keyakinan Tidak Hilang Dengan Keraguan

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

KAEDAH fiqh yang kedua adalah al-Yaqiin la Yuzaal bil al-Syak - اليقين لا يزال بالشك (Keyakinan tidak hilang dengan keraguan). Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.

Ia juga bermaksud keyakinan yang asal tidak boleh ditinggalkan hanya disebabkan keraguan atau syak. Ia berasaskan banyaknya nas yang menunjukkan apabila berlakunya syak, maka perlu kembali kepada keyakinan asal.

Kaedah yang kedua ini sebenarnya mempunyai elemen yang agak sama dengan kaedah fiqh yang pertama. Persamaan antara keduanya ialah mempunyai perkaitan dengan hati.

Dalam kaedah yang kedua ini terdapat dua perkara iaitu yakin dan syak. Keyakinan adalah suatu perasaan dalam hati seseorang apabila dia memperolehi kepercayaan jitu terhadap sesuatu perkara disebabkan terdapatnya qarinah atau bukti-bukti yang kukuh.

Syak pula ialah sesuatu keraguan dalam hati seseorang apabila ketiadaan bukti kukuh atau mempunyai bukti yang tidak meyakinkan. Justeru, apabila berlaku pertembungan di antara yakin dan syak, maka keyakinan tersebut akan diambil kira.

Islam mengajar kita supaya berusaha mengelakkan sesuatu yang boleh mendatangkan syak. Ini adalah kerana syak boleh menimbulkan kekeliruan dan dalam banyak keadaan, ia boleh mendatangkan kesusahan kepada kita.

Sebagai contoh, dalam urusan hutang, apabila seseorang itu berhutang, maka dia perlu menulis perjanjian atau merekodkan maklumat hutang tersebut seperti jumlah hutang yang dibuat, masa pembayaran, kaedah pembayaran sama ada sekali gus, berkala dan sebagainya.

Merekodkan hutang dalam bentuk bertulis yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak amatlah digalakkan dalam Islam berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalat tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar…. (al-Baqarah: 282)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الأخْرَى وَلا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا وَلا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلا تَرْتَابُوا إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلا تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلا شَهِيدٌ وَإِنْ تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٢٨٢)

Saranan dan galakkan ini sebenarnya untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan yang mungkin tercetus akibat dari kesamaran dan kekaburan maklumat pada masa hadapan.

Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari terlupa. Oleh kerana itu, Islam telah mendatangkan penyelesaian kepada permasalahan ini. Antaranya, kita kembali kepada perkara yang meyakinkan.

Rasulullah SAW telah mengajarkan beberapa asas untuk kita mengatasi masalah syak.

Antara ajaran Baginda SAW dalam memberi panduan bagaimana mengatasi syak dalam solat adalah melalui sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri: Jika seseorang dari kamu ragu-ragu ketika solat, dia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah dikerjakannya; tiga atau empat, maka ketepikanlah keraguan tersebut dengan keyakinan. (riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berada dalam keadaan syak sama ada dia telah menunaikan berapa rakaat, maka perlu mengambil kira bilangan yang sedikit kerana ia meyakinkan dan tidak terjejas dengan keraguan.

Demikian juga seseorang yang telah mengambil wuduk, namun selepas itu dia terlupa sama ada sudah terbatal ataupun tidak, maka dia dikira masih berada dalam keadaan berwuduk.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW daripada Abu Hurairah r.a: Jika seseorang kamu merasakan sesuatu didalam perutnya, kemudian timbul keraguan dengan sebabnya, apakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia telah mendengar bunyi atau mencium bau. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdapat beberapa pecahan di bawah kaedah ini. Antaranya: “Sesuatu yang diyakini tidak akan terbatal kecuali dengan keyakinan” [إن ما ثبت بيقين لا يرتفع إلا بيقين]. Contoh aplikasi ini ialah apabila seseorang itu yakin dia telah berwuduk namun syak adakah batal ataupun tidak, maka dia dikira masih berwuduk.

Kaedah pecahan yang seterusnya adalah: “Asal sesuatu ialah kekal sebagaimana sedia ada” [الأصل بقاء ما كان على ما كان]. Contoh aplikasi kepada kaedah pecahan ini adalah jika seseorang yang berpuasa makan pada waktu petang tanpa berijtihad sama ada sudah masuk waktu berbuka atau belum. Kemudian datang keraguan padanya sama ada sudah terbenam matahari atau tidak, maka puasanya terbatal kerana mengikut asalnya tidak terbenam matahari.

Adapun, seseorang yang bersahur pada akhir malam dan dia syak sama ada sudah terbit fajar ataupun belum, maka dikira sebagai sah puasanya kerana asalnya adalah kekal malam.

Demikianlah beberapa contoh dalam membicarakan kaedah fiqh yang kedua ini. Mudah-mudahan akan memberikan sedikit gambaran bagaimana para ulama melihat hukum-hakam melalui perspektif fiqh.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 25/5/2011.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Qawaid Fiqhiyyah

Pengasasnya ialah Imam Abi Zaid al-Dabusi ( الإمام أبي زيد الدبوسي ). Wafat pada tahun 430H. Akan tetapi pada masa itu kaedah masih bercampur-campur sehinggalah dipecah-pecahkan oleh ulama kemudiannya. Al-Dabusi tidak menggelarnya sebagai qawaid akan tetapi kaedahnya dapat menyelesaikan banyak permasalahan. Asalnya sebanyak 85 kaedah. Kaedah tersebut diperbaharui oleh para ulama Hanafiah sehinggalah sekitar kurun ke-5 dan ke-6 datang Imam Nasafi mensyarahkan Qawaid Kurkhi [ ا لقواعد الكرخي ]. Akan tetapi ia bukan dari Hanafiah kerana Imam Nasai bermazhab Syafie. Kemudian sehingga kurun mendatang baru muncul kaedah-kaedah baru yang dibentang oleh para ulama r.h. Antara kitab Qawaid Fiqhiyyah ( القواعد الفقهية ) yang masyhur ialah: 1. Kitab [ قواعد الأحكام في مصالح الأنام ] oleh Imam ‘Izzi Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Syafie ( الإمام عز الدين عبد العزيز بن عبد السلام السلمي الشافعي ). Wafat tahun 616H. Kitab ini juga dikenali dengan nama [ القواعد الكبرى ] dan satu lagi dinamai [

Kaedah Al-Umuru Bi Maqasidiha

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN KAEDAH Fiqh ( قاعدة الفقه ) yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha ( الأمور بمقاصدها ) yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab ( عمر الخطاب ): Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat pen

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN قاعدة: الضرر لا يزال ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta. Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya. Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para